Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Lebih 250 orang profesional perubatan, pendidikan dan ibu bapa serta penjaga anak-anak autisme telah menghadiri Seminar Autisme Brunei yang diadakan di Dewan Serba Guna, Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Seminar yang dikelolakan oleh Autism Partnership Singapore dengan kerjasama Growing Minds Learning Center dan UTB itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Akademik) UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dan pegawai-pegawai utama UTB yang lain.
Seminar merangkumi kefahaman mengenai autisme dan rawatan terkini yang disediakan, pengurusan dan pembelajaran perbahasan melalui ‘Developing Spontaneous’ yang disampaikan oleh Board Certified Behavior Analyst (BCBA), Nurhayati M Ismail yang juga Senior Case Supervisor Autism Partnership Singapore.
Turut hadir pada seminar itu ialah Pengurus Growing Minds Learning Center, Vicky Ong yang menyatakan bahawa sangat penting bagi ibu bapa serta penjaga untuk mengenal pasti penanda utama atau tanda-tanda tingkah laku anak-anak.


Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan untuk menyediakan intervensi awal bagi mengatasi isu tingkah laku berkenaan, bagi membantu pembangunan pembelajaran mereka untuk jangka masa yang panjang.
Bengkel berkenaan juga menumpukan kepada penggunaan penyelidikan dan penemuan saintifik untuk mengasingkan yang benar dan mitos berkaitan dengan autism spectrum disorder.
Selain itu, bengkel juga meliputi langkah-langkah bagaimana para pendidik, ibu bapa serta penjaga mengurus tingkah laku anak dan membangun motivasi percakapan mereka.