Sunday, September 29, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran mengenai HIV

    Oleh Sim Y. H. 

    TUTONG, 29 SEPT – Golongan belia terus diberikan maklumat dan kesedaran mengenai HIV menerusi usaha yang dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

    Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) di mana ia merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia.

    Program itu dikendalikan di Sekolah Menengah Tajong Maya (SMTM) di mana kira-kira 200 orang pelajar mengambil bahagian dalam program berkenaan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong, kelmarin.

    Program itu menyaksikan ceramah disampaikan oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan aktiviti-aktiviti dikendalikan bersama oleh ahli-ahli pasukan HAPPY.

    Semasa ceramah berkenaan, Dayang Siti Kailene mengongsi statistik tempatan STI terkini dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.

    Beliau turut menyatakan bahawa angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam sebagai tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.

    Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan dengan disesuaikan kepada situasi tempatan.

    BDAIDS Council berharap supaya para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.

    Antara pelajar-pelajar SMTM yang mengambil bahagian semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BDAIDS COUNCIL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda