Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Program Brunei Peduli Palestin telah diadakan di Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas, kelmarin, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu-isu kemanusiaan di Palestin.
Program berkenaan dianjurkan oleh Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Belia Mualaf As-Syahadah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Kumpulan Belia Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, disokong oleh KHEU dan beberapa buah agensi serta syarikat-syarikat swasta termasuk Times Square, Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd, Syarikat Samima Sdn Bhd dan Syarikat MK Fashion Sports House & Embroidery.
Julung-julung kalinya diadakan di Brunei Darussalam, program itu merupakan salah satu aktiviti selingan daripada Kempen ‘Dignity is Priceless’, projek kolaborasi antara
KHEU dengan The United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) yang berlangsung di sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan KHEU serta orang ramai.
Selepas perasmian pada sebelah pagi, program telah diisikan dengan sesi perkongsian yang menampilkan wakil UNRWA iaitu Pakar Perhubungan Rakan UNRWA bagi Asia Tenggara, Dayang Hartini binti Zainudin dan mahasiswa dari Palestin, Ahmed Alhaj Ahmed yang menuntut di UNISSA.
Seterusnya, Yang Berhormat Pehin menerima sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan dan Bantuan Dana bagi Pelarian Palestin daripada beberapa buah agensi dan syarikat swasta.
Program juga diserikan dengan persembahan-persembahan daripada beberapa buah kumpulan nasyid, antaranya Firqah ad-Durani dengan tajuk ‘Deen as-Salam’, Gabungan Mahasiswa Tahun 1 UNISSA mempersembahkan ‘Choral Speaking’, kumpulan Qaisaratuzzahra dan Ar-Roja mempersembahkan nasyid bertajuk ‘Syuhada di bumi Anbiya’ dan As-Solehin mempersembahkan tajuk ‘Saudaraku’ (My Love Cover).
Pada sebelah petang pula, program diisikan dengan sesi ceramah bertajuk ‘Brunei Peduli Palestin’ yang disampaikan oleh Awang Mohd Yusof bin Haji Abdul Majid dan forum bertajuk ‘Sabar dan Istiqamah: Belajar dari Muslimah Palestin’ yang dibincangkan oleh dua orang ahli panel iaitu Dr Hajah Fa’izah binti Haji Abdul Rahman dan Dr Widad binti Haji Abdul Aziz.
Manakala itu, pada sebelah malam pula diisikan dengan sesi perkongsian daripada ahli Jawatankuasa Media Kami Prihatin (WeCare), Awang Mohammad Dhiyaulhaziq bin Haji Nordin.
Selain itu, berbagai-bagai aktiviti dapat disaksikan dan disertai oleh orang ramai sepanjang program berlangsung seperti Pameran interaktif ‘Palestine Tunnel’ seolah-olah berada di Gaza.