Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya dan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penggunaan kerusi keselamatan anak damit, SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd, syarikat pelaburan langsung asing di Brunei dan anak syarikat Sumitomo Corporation bekerjasama dengan Mothercare untuk menyumbangkan kerusi keselamatan anak damit kepada 13 orang ibu bapa anak damit, kelmarin.
Hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini untuk menyempurnakan penyerahan kerusi-kerusi keselamatan anak damit berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Dayang Saidah Haji Wahid, Pengurus Operasi SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd, Andrew Agnello dan Pengarah Urusan Mothercare, Jolene Wong.
Andrew dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa sumba-ngan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan tanggungjawab sosial korporat mereka.
Beliau berkata bahawa mereka mempunyai sebuah kumpulan tanggungjawab sosial korporat yang bekerja dengan penuh dedikasi untuk memikirkan kaedah terbaik bagi menyumbang bakti kepada masyarakat.
Beliau yakin bahawa dengan menyumbangkan kerusi keselamatan anak damit itu, ia merupakan satu idea yang baik kerana ia memberikan penekanan kepada penjagaan keselamatan untuk generasi baharu.
Majlis sumbangan yang serupa juga akan diadakan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong pada Oktober nanti dan diikuti dengan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait pada November nanti.
