Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran, pengurusan kesihatan mental

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan kesihatan mental, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, di sini, jerayawara berkenaan merupakan kesinambungan jerayawara ke kementerian-kementerian bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023.

    Setakat ini, ia telah diadakan di lapan buah kementerian lain, yang berlangsung setiap bulan bermula Oktober 2023.

    Kira-kira 80 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan telah menghadiri jerayawara berkenaan.

    Jerayawara menyaksikan Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan menyampaikan ucapan alu-aluan dan diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan kesihatan mental.

    Sesi perkongsian telah disampaikan oleh ahli-ahli panel profesional iaitu ahli psikologi di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah; Ketua Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid serta Chiam Chin Hui dan Dayangku Nurfikriyah Hafizah binti Pengiran Harun Amir Rashid dari Sumber Manusia Kumpulan Bank Baiduri Sdn Bhd.

    Acara itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, KHEU dan Jabatan Perdana Menteri serta dikendalikan bersama dengan sokongan Bahagian Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Baiduri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.

    Ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan kesihatan mental, membarigakan kepentingan penjagaan kesejahteraan diri serta berhasrat untuk mengurangkan stigma dan pandangan negatif terhadap kesihatan mental di tempat kerja khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

    Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat menjadi sebuah platform pembarigaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang terdapat di negara ini, sama ada di sektor kerajaan mahupun sektor swasta.

    Ahli panel menyampaikan sesi perkongsian ilmu berkaitan kesihatan mental pada acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN
    Antara yang hadir semasa jerayawara yang diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda