Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran penyusuan susu ibu

    Oleh Sim Y. H. –

    TUTONG, 1 SEPT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan penyusuan susu ibu, Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2023 bagi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) telah diadakan di hospital berkenaan di sini, kelmarin.

    Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2023 membawa tema ‘Memudahkan Penyusuan Susu Ibu: Menjana Perubahan Bermakna untuk Ibu Bapa Bekerja’.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital PMMPMHAMB, Awang Abdul Afiq bin Ahmad Mahmud. Turut hadir ialah pegawai serta kakitangan hospital tersebut.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Guru Ugama, Pengiran Rudiman bin Pengiran Tengah dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Hajah Azizah binti Haji Idris dari Pejabat Pentadbiran Kejururawatan, Hospital PMMPMHAMB.

    Pada majlis itu, ceramah khas telah disampaikan oleh penceramah undangan, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman, diikuti dengan sesi perkongsian daripada salah seorang ibu yang telah berjaya menyusukan anak damit secara eksklusif yang bertugas sebagai jururawat di Unit Kecemasan dan Kemalangan, Tutong.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian cenderahati kepada ibu-ibu yang diraikan sempena majlis itu serta pameran pendidikan mengenai penyusuan susu ibu yang diadakan.

    Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia merupakan aktiviti tahunan yang disambut pada setiap minggu pertama Ogos. Walaupun mempunyai tema berbeza setiap kali penganjurannya, namun sambutan berkenaan terus mengekalkan tujuannya iaitu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan penyusuan susu ibu.

    Para penerima cenderahati bergambar ramai pada Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2023 bagi Hospital PMMPMHAMB. – Gambar serahan Hospital PMMPMHAMB
    Awang Abdul Afiq menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada para penerima pada majlis berkenaan. – Gambar serahan Hospital PMMPMHAMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda