Tingkat kesedaran tangani isu kesihatan mental

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Kira-kira 40 orang ketua–ketua sekolah dan ahli–ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di bawah Kluster 3 menyertai bengkel menangani isu kesihatan mental di sekolah selama dua hari yang diadakan pada 9 hingga 10 Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, di sini, bengkel dua hari itu, dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan melalui Kumpulan Strategi Kesihatan Mental dengan kerjasama pihak pengurusan Kluster 3, Jabatan Sekolah–sekolah, Kementerian Pendidikan.

Ia juga merupakan salah satu aktiviti Program Jangkauan Sekolah untuk Program Mempromosikan Kesihatan Kanak–kanak dan Remaja di bawah Pusat Promosi Kesihatan.

Kenyataan menyatakan bahawa bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama di kalangan ketua–ketua sekolah, guru–guru dan para ibu bapa akan kepentingan kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah, terutama dalam memastikan ketumbesaran fizikal dan perkembangan emosi mereka adalah dalam keadaan optimum.

Bengkel itu juga dihasratkan sebagai sebuah platform pemberigaan langkah–langkah yang dapat dan perlu dilaksanakan oleh para ketua–ketua sekolah, guru–guru serta ibu bapa dalam sama–sama menangani isu kesihatan mental di kalangan kanak–kanak dan remaja.

Bengkel menangani isu kesihatan mental di sekolah yang dihadiri oleh kira-kira 40 orang ketua–ketua sekolah dan ahli–ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di bawah Kluster 3 yang diadakan pada 9 dan 10 Jun lalu. – Gambar serahan Pusat Promosi Kesihatan

Pada masa yang sama juga, bengkel itu juga bertujuan untuk membantu sekolah–sekolah di bawah Kluster 3, untuk melakar garis panduan tatacara pengendalian piawai (prosedur operasi standard) untuk isu–isu berkaitan kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah.

Bengkel tersebut bermula dengan kata-kata aluan daripada Ketua Kluster 3, Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Dayang Siti Hawa binti Haji Mat Noor, yang juga merupakan pengerusi bersama bengkel.

Ia antara lain dimuatkan dengan sesi forum mini yang mengongsi pengalaman daripada ahli-ahli keluarga serta guru–guru dalam menangani pelajar–pelajar yang mengalami isu-isu berkaitan dengan kesihatan mental, diikuti dengan taklimat mengenai Kesihatan Mental dan Cara–cara Menanganinya yang disampaikan oleh Pegawai Saintifik, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Siti Nur Hassanah binti Haji Hasnan pada hari pertama.

Manakala pada hari kedua, bengkel diteruskan dengan taklimat mengenai Strategi Keibubapaan Positif dan Kemahiran Asas Kaunseling, yang disampaikan oleh Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Nor Syahmun Haji Matassan.

Bengkel juga dimuatkan dengan sesi perbincangan di kalangan para peserta bengkel tersebut mengenai pelakaran tatacara pengendalian piawai isu–isu berkaitan kesihatan mental.