Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 30 SEPT – Mashhor General Contractors Sdn Bhd (MGCSB) baru-baru ini telah menganjurkan ceramah anti tembakau untuk kakitangannya yang berlangsung di pejabat utama mereka di Jalan Pangsa, Seria.
Hadir selaku penceramah jemputan pada acara berkenaan ialah Pegawai Pendidikan Kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan (HPC) Kementerian Kesihatan, Dayang Arni Nur Aqilah binti Haji Awang Bakar.
Kehadiran beliau telah dialu-alukan oleh Pengurus HSSE Kumpulan Korporat MGCSB, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif.
Pada acara itu, beliau telah menyampaikan tentang matlamat syarikat dan objektif dasar merokok untuk menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan serta komitmen bagi memastikan kesihatan dan keselamatan setiap orang yang menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat.
Beliau turut menyampaikan maklumat penting tentang kesan bahaya produk tembakau termasuk merokok dan penggunaan rokok elektronik atau vape.
Dalam ceramahnya, beliau juga menekankan tentang risiko yang ditimbulkan kepada masyarakat di sekeliling mereka, termasuk kepentingan mengekalkan persekitaran bebas asap rokok.
Selain itu, acara tersebut turut menawarkan gambaran keseluruhan Perintah Tembakau 2005, yang menggariskan sekatan undang-undang ke atas merokok dan rokok elektronik di kawasan larangan.
MGCSB berharap ceramah itu dapat membantu para pekerja memperolehi maklumat yang berguna tentang peraturan itu agar mereka patuh sekali gus mempromosikan tempat kerja yang lebih sihat. Di samping terus komited untuk memupuk kesedaran tentang kesihatan serta kesejahteraan dalam kalangan tenaga kerjanya.
Ceramah tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penggunaan tembakau.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Syarikat Kumpulan Mashhor dan Ketua Pegawai Eksekutif Mashhor Waste Management Resources, Malai Shamil Faris bin Dr Malai Haji Abdul Hamid.