Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanda-tanda amaran serangan jantung dan bagi memperkukuhkan penjagaan rawatan bagi pesakit-pesakit serangan jantung, Gleneagles JPMC telah melancarkan Kempen Kesedaran Acute Myocardial Infarction (AMI) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Hadir menyempurnakan pelancaran Kempen Kesedaran AMI itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay, ahli-ahli Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC, pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan dan sektor swasta serta pengurusan dan kakitangan Gleneagles JPMC.
Dalam kata alu-aluannya, Dr Peter Tay menyatakan pelancaran kempen adalah bersempena dengan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 yang membawa tema, Jangan Terlepas Degupan.
Pada 2024 seperti tahun sebelumnya, jelasnya, penyakit kardiovaskular kekal penyebab kematian kedua di Brunei, yang meragut nyawa seramai 572 orang, dengan lebih separuh kematian berkenaan berlaku pra-matang.




Bagi menangani perkara itu, Gleneagles JPMC sebagai satu-satunya pusat pakar jantung khusus negara, telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Emergency Medical Ambulance Services (EMAS) untuk memperhalusi dan menyelaraskan penjagaan rawatan bagi ST-Elevation Myocardial Infarction (STEMI) di Brunei.
Sebelum ini, pesakit yang mengalami serangan jantung boleh mengalami jangka masa yang lebih lama sebelum menerima intervensi yang menyelamatkan nyawa.
Kini dengan rujukan terus dan sistem tindak balas yang diselaraskan, rawatan boleh diberikan secepat 27 minit untuk pesakit di Daerah Brunei-Muara, menandakan peningkatan ketara dalam kemandirian dan pemulihan pesakit.
Sejak pelaksanaannya, rujukan langsung terhadap penjagaan rawatan ke atas pesakit telah menunjukkan kemajuan yang luar biasa dalam meningkatkan hasil penjagaan jantung.
Antara Januari dan September 2025, sejumlah 94 rujukan telah dibuat ke Gleneagles JPMC, peningkatan mendadak berbanding hanya empat kes yang direkodkan pada akhir 2023. Daripada jumlah itu, seramai 39 pesakit memenuhi kriteria rujukan dan telah dipindahkan ke Gleneagles JPMC, dengan 23 lagi berjaya menjalani Intervensi Koronari Perkutan Utama.
Dengan semua pesakit yang dipindahkan telah dibenarkan keluar tanpa kematian, ia menonjolkan kesan menyelamatkan nyawa daripada intervensi yang tepat pada masanya dan kerjasama yang diperkukuh antara Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.
Kejayaan penjagaan rawatan ke atas pesakit itu berkait rapat dengan keupayaan responden barisan hadapan. Gleneagles JPMC dan EMAS telah memberikan penekanan yang kuat terhadap latihan tenaga kerja di mana seramai 76 paramedik EMAS telah dilatih setakat ini, bersama lebih daripada 30 orang dari institusi swasta.
Inisiatif latihan itu, yang dikendalikan oleh Gleneagles JPMC bertujuan untuk memastikan paramedik dilengkapkan dengan baik untuk mengenal pasti kes serangan jantung dengan cepat serta mengaktifkan laluan tanpa berlengah-lengah.
Majlis menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyempurnakan pelancaran Kempen Kesedaran AMI. Majlis turut diserikan dengan sesi panel perbincangan bertajuk, The Journey to a Unified PPCI Pathway, di mana para pakar berkongsi perspektif mereka mengenai pembangunan dan pelaksanaan sistem berkenaan.
Pada sesi perbincangan berkenaan, Ketua Jabatan Kardiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Sofian Johar memberikan gambaran mengenai sejarah perjalanan rawatan ke atas pesakit dan pensejajarannya dengan amalan terbaik antarabangsa yang disesuaikan bagi Brunei.
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Intervensi Kardiologi, Gleneagles JPMC, Dr Paula Mota mengetengahkan usaha menterjemahkan strategi kepada amalan termasuk program latihan bagi kakitangan kecemasan dan cabaran-cabaran untuk memastikan ketekalan di seluruh institusi.
Manakala itu, Ketua Operasi EMAS, Cawangan Tutong dan Belait, Kementerian Kesihatan, Pengiran Haji Laila Halip memberikan perspektif barisan hadapan yang menggambarkan bagaimana paramedik memperoleh manfaat daripada protokol berkenaan melalui triage yang lebih baik, komunikasi dan masa pengangkutan.
Menerusi kempen itu, Gleneagles JPMC akan mengadakan sesi pendekatan pendidikan ke sekolah-sekolah, tempat kerja, media sosial dan program kemasyarakatan untuk memastikan orang ramai lebih peka untuk mengenali simptom-simptom awal serangan jantung dan bertindak pantas.
Hospital berkenaan akan mengetengahkan kempen kesedaran berkenaan pada Persidangan Antarabangsa Penyakit Tidak Berjangkit yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 8 hingga 12 Oktober.
