Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran vaksin COVID-19 dalam kalangan pekerja swasta

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dalam usaha memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai vaksin COVID-19 kepada orang ramai, VAM (R) BRN Sdn Bhd telah menganjurkan ceramah mengenai Kesedaran Vaksin COVID-19 kepada kakitangannya, hari ini.

    Ceramah yang berlangsung di pejabat syarikat berkenaan dihadiri oleh 60 orang kakitangan termasuk Pengarah Urusan, Hiroyuki Hatanaka.

    Sepanjang sesi ceramah itu, kakitangan mendengarkan penerangan mengenai vaksin berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan di Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nurul Adilah binti Mahmud.

    Ceramah antara lain bertujuan untuk memberi penjelasan mengenai vaksin COVID-19 di samping memberi peluang kepada kakitangan untuk mengetahui dan bertanya mengenai vaksin berkenaan.

    Dalam ceramah beliau antara lain menjelaskan mengenai tatacara pengambilan vaksin dengan mengingatkan untuk membawa bersama kad BruHims bagi melancarkan dan memudahkan lagi pegawai perubatan memastikan tahap kesihatan sebelum diberikan suntikan vaksin.

    Menurut beliau, bagi mereka yang telah mengambil vaksin COVID-19 dapat mengurangkan gejala yang teruk berbanding bagi mereka yang tidak mengambil vaksin berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk mengambil vaksin tersebut sebagai perlindungan daripada mengalami gejala teruk akibat COVID-19. Beliau juga mengingatkan, selepas pengambilan vaksin tersebut untuk tidak melakukan sebarang aktiviti sukan berat dalam masa satu minggu.

    Ceramah kesedaran berkenaan merupakan yang kedua dilaksanakan oleh VAM(R)BRN yang mana kumpulan pertama telah diadakan pada 22 Julai lalu. Setakat ini, 23 kakitangan syarikat itu telah mengambil suntikan vaksin COVID-19 manakala lima kakitangan telah pun selesai dos kedua.

    Antara warga VAM (R) BRN Sdn Bhd yang hadir mendengarkan ceramah mengenai kesedaran vaksin COVID-19.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda