Pada era moden ini, ramai ibu bapa yang terlibat bekerja dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Namun, mereka juga tidak ketinggalan daripada menghadapi cabaran yang berat terutama sekali yang mempunyai anak damit dan memerlukan penjagaan rapi. Di sini saya ingin menyentuh mengenai isu penjagaan anak bagi mereka yang tidak mampu untuk mengupah atau menghantar anak ke taska swasta sehingga memberikan kesan yang negatif terhadap prestasi pekerja.
Kebimbangan akan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak adalah satu beban yang berat dan boleh mengakibatkan kurangnya fokus dan produktiviti di tempat kerja sehingga menyebabkan tekanan emosi dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya bekerja.
Selain itu, keperluan untuk menguruskan anak-anak juga boleh menyebabkan gangguan dalam jadual kerja ibu bapa. Sering kali, ibu bapa terpaksa meninggalkan kerja mereka secara mengejut untuk menguruskan anak yang sakit atau menghadiri keperluan keluarga yang lain.
Lebih daripada itu, kurangnya sokongan daripada majikan juga boleh menyebabkan prestasi pekerja merosot. Tanpa adanya sikap tolak ansur atau kemudahan seperti cuti keluarga yang mencukupi atau fleksibiliti dalam jadual kerja, pekerja akan merasa tertekan dan tidak bermotivasi mencapai prestasi yang cemerlang yang diinginkan majikan.
Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkuasa di Brunei bagi mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani isu penjagaan anak bagi pekerja sektor kerajaan. Ini termasuk menyediakan atau memberikan kelonggaran atau kemudahan penjagaan anak di tempat kerja, memberikan bantuan elaun kewangan untuk menghantar anak ke taska swasta dan memberikan fleksibiliti dalam jadual kerja.
Dengan mengambil langkah-langkah tersebut, pihak berkuasa akan dapat membantu meningkatkan kesejahteraan serta prestasi pekerja secara keseluruhan yang akan membawa kepada pembangunan organisasi yang lebih stabil.
Rokiah







