Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat keselamatan, kesejahteraan di tempat kerja

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Klinik Perubatan Kare dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Malaysia, hari ini telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk meningkatkan latihan kesihatan dan keselamatan pekerjaan di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis penandatanganan yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kiulap itu merupakan perkongsian bersejarah, menandakan julung kalinya NIOSH Malaysia bergabung dengan Klinik Perubatan Kare untuk menyampaikan program latihan kesihatan dan keselamatan pekerjaan komprehensif yang disesuaikan untuk industri di negara ini.

    Ia sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memajukan standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di rantau ini.

    Menandatangani perjanjian bagi pihak Klinik Perubatan Kare ialah Pengarah Klinikal, Dr Haji Mohammad Munir bin Dato Haji Metassan, manakala NIOSH Malaysia diwakili oleh Setiausaha Eksekutif, Mejar (B) Haji Hanif bin Maidin.

    Salah satu inisiatif pertama di bawah kerjasama itu adalah pengenalan Latihan Pertolongan Cemas Pekerjaan dan Latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental untuk industri di seluruh Brunei.

    Pertukaran dokumen perjanjian di antara Klinik Perubatan Kare dengan NIOSH, Malaysia. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Kursus-kursus berkenaan direka untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran penting dalam mengendalikan kecemasan perubatan dan krisis kesihatan mental dengan berkesan, memastikan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.

    Klinik Perubatan Kare dan NIOSH Malaysia turut merancang untuk melancarkan program latihan tambahan yang berkaitan dengan pelbagai industri, termasuk Latihan Keselamatan Kimia, Latihan Keselamatan Kebakaran dan Kesediaan Kecemasan, Kesihatan Pekerjaan dan Latihan Ergonomik, dan banyak lagi.

    Setiap program direka dengan teliti untuk menangani cabaran keselamatan dan kesihatan khusus yang dihadapi oleh sektor yang berbeza, selain memupuk budaya keselamatan dan kesejahteraan di tempat kerja.

    Dengan mempromosikan piawaian kesihatan dan keselamatan yang ketat, kerjasama itu bertujuan untuk menjaga kesejahteraan awam dan menyumbang kepada daya tahan dan kemakmuran negara.

    Sementara itu, individu yang terlatih akan lebih bersedia untuk bertindak balas terhadap kecemasan, mengurangkan risiko dan menyokong kesihatan mental serta mewujudkan kesan yang memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda