Oleh Sim Y. H. –
TEMBURONG, 19 OKT – Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini telah menganjurkan Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) ke-2, 2025 bersama para penduduk yang tinggal di bawah Mukim Bukok yang berlangsung di Dewan RPN Rataie, Temburong, pada 13 hingga 15 Oktober.
Program berkenaan disertai lebih 20 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung, penduduk kampung, belia dan golongan wanita.
Program itu bermatlamat memupuk kesedaran masyarakat mengenai fungsi dan peranan NDMC serta agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini, meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat agar sentiasa peka terhadap risiko bencana dan bersiap sedia menghadapi bencana dengan mengambil tindakan yang betul dan selamat serta membina masyarakat yang berdaya tahan bencana.
Program CBDRM dilaksanakan dengan jayanya hasil daripada sokongan dan kerjasama padu agensi-agensi berkenaan, iaitu Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Pejabat Perubahan Iklim Brunei Darussalam, Bahagian Saliran dan Pembetungan serta Bahagian Kaji Tanah dan Kaji Selidik, Jabatan Kerja Raya, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Elektrik dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (BRC).
Turut sama menjayakan program ialah Ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) yang diiktiraf oleh NDMC sejak 2019.

Sepanjang program, para peserta telah mengikuti taklimat serta aktiviti praktikal berdasarkan tema bagi Program CBDRM Mukim Bukok, Banjir. Oleh itu, taklimat yang disampaikan oleh agensi-agensi berkenaan termasuk NDMC bertajuk, Fungsi, Peranan dan Langkah-langkah Menangani Kejadian Banjir. Aktiviti praktikal pula merangkumi Table-Top Exercise (TTX): Do’s & Don’ts Disasters, Penyediaan Emergency Grab Bag, Town Watching & Hazard Mapping, demonstrasi dan latihan praktikal cara memadam kebakaran dan mengangkat mangsa cedera serta demonstrasi dan latihan praktikal asas pertolongan cemas.
Aktiviti praktikal Penyediaan Emergency Grab Bag merupakan salah satu aktiviti baharu yang diperkenalkan pada tahun ini bersama penduduk kampung. Aktiviti itu diilhamkan daripada amalan terbaik yang diperoleh hasil penyertaan pegawai NDMC dalam kursus luar negara berkaitan pengurusan bencana lalu diaplikasikan dalam Program CBDRM Mukim Bukok kali ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program pada majlis penutup ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Azmi bin Haji Suhaili.
Sementara itu, dalam ucapan penutup program oleh wakil peserta belia kampung, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan masyarakat dan kerjasama berterusan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Para jemputan yang hadir terlebih dahulu menyaksikan tayangan video Program CBDRM Mukim Bukok yang telah diadakan selama tiga hari berturut-turut.
Turut diadakan ialah acara simbolik penyerahan perkakas memadam kebakaran yang disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba, Awang Mohammad Yudieswandy bin Bakar selaku Pemangku Ketua Pemerintah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada Ketua Kampung Batang Tuau, Temburong.

