Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesiapsiagaan tangani situasi kecemasan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam menangani sebarang bencana, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) sedang giat melaksanakan program kesedaran melalui Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) atau melalui School Based Disaster Risk Management (SBDRM).

    Untuk memantapkan lagi inisiatif berkenaan, NDMC dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sedang merancang untuk mengendalikan program kesedaran awam berbentuk eksesais bencana dan latihan kebakaran serta pelaksanaan latihan Program Pertolongan Cemas Dalam Komuniti.

    Usaha itu merupakan salah satu kolaborasi dalam sama-sama memupuk kesedaran masyarakat dalam mengetahui risiko bencana dengan mengambil tindakan yang betul dan selamat, jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Pertolongan Cemas Dalam Komuniti yang berlangsung di Kompleks Annajat, Beribi, hari ini.

    “Menyedari akan kepentingan kesiapsiagaan masyarakat dalam menangani sebarang situasi, program ini diharap akan dapat melengkapkan pemimpin-pemimpin akar umbi dan penduduk mukim dan kampung dengan ilmu asas pertolongan cemas di mana dengannya diharap akan dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan ataupun kehilangan nyawa,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato terdahulu dalam ucapannya menyentuh mengenai Program Pertolongan Cemas Dalam Komuniti yang mengandungi dua peringkat iaitu Training of Trainer dan First Aider Training.

    Ia bertujuan untuk menyediakan latihan kemahiran kepada penduduk mukim dan kampung di seluruh negara termasuk para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung untuk diiktiraf sebagai Community First Aider dalam menangani situasi kecemasan seperti kecederaan, kemalangan dan bencana alam.

    Hasrat itu, tambahnya, adalah selaras dengan visi Kementerian Kesihatan untuk menyasarkan kepada seorang first aider bagi setiap rumah menjelang 2035 dan pelan strategik Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei (PBSM) yang menyasarkan satu rumah satu first aider menjelang 2030.

    Ia juga sejajar dengan pelan strategik KHEDN iaitu transformasi pembangunan bandar dan daerah serta memperkasakan pembangunan komuniti.

    Beliau berkata, ia memberikan penekanan terhadap penglibatan aktif daripada pemimpin-pemimpin akar umbi dengan kerjasama masyarakat khususnya majlis perundingan mukim dan kampung dalam membantu memperkasakan masyarakat untuk tampil ke hadapan dan sama-sama mengambil peranan untuk menerajui pelbagai inisiatif pembangunan diri seperti mempertingkatkan penglibatan komuniti sebagai petindak pertama semasa kejadian bencana serta memupuk kewaspadaan masyarakat dalam hal ehwal keselamatan dan kesejahteraan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar ramai bersama pegawai dan pemangku pegawai daerah pada majlis yang berlangsung di Kompleks Annajat, Beribi, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara para jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda