Tingkat keupayaan lindungi perairan Sabah, Sarawak

KUANTAN, 23 FEB – Pembangunan dan infrastruktur bagi pembinaan Zon Maritim Semporna, Sabah dan Zon Maritim Miri, Sarawak akan mula dilaksanakan pada tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembinaan Zon Maritim Semporna amat relevan dalam memperkasakan kawalan di perairan Pantai Timur Sabah khususnya membantu di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) selain meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat di perairan negara. Selain itu, Muhyiddin juga memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan bagi empat helikopter ‘medium lift’ berjumlah RM600 juta, berdasarkan kepada prestasi dan usaha memperkasakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Dengan adanya aset dan infrastruktur ini, ia akan membantu mempermudahkan lagi APMM beroperasi di laut. Melalui pengukuhan aset ini, peranan APMM dalam memelihara kedaulatan negara juga dapat dipertingkatkan melalui konsep diplomasi ‘white hull’.

“Kita semua sedar di perairan negara terletaknya aset ekonomi seperti pelantar minyak dan gas yang menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada majlis Hari Ulang Tahun ke-15 dan Perbarisan Tamat Latihan Pegawai APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha KDN Datuk Jamil Rakon. Turut hadir Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah AMSAS Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said. Muhyiddin memaklumkan sebanyak 349 pelantar minyak dan gas berada di perairan Pelantar Benua Malaysia melalui Selat Melaka setiap tahun. – Bernama

Datuk Jamil Rakon (kiri) menyampaikan Anugerah Pelatih Pegawai Keseluruhan Terbaik sempena Hari Ulang Tahun ke-15 dan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin. – Bernama