Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Pembentangan Belanjawan Tahun Kewangan 2025/2026 adalah sangat komprehensif dan jelas mengenai hala tuju peruntukan kewangan dan diharap mempunyai impak ketara dalam usaha untuk transformasi ekonomi dan sebagai langkah strategik yang berterusan ke arah mencapai matlamat Wawasan 2035.
Perkara ini diketengahkan dan disokong oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Walaupun pendapatan negara turut terjejas oleh tidak kestabilan harga komoditi, pergolakan politik dunia seperti peperangan, sekatan perdagangan, tarif dan sebagainya, Negara Brunei Darussalam masih mampu menyediakan peruntukan sebanyak $6.35 billion secara keseluruhan untuk meneruskan agenda pembangunan negara. Di samping itu Yang Berhormat Pehin mengambil maklum juga akan fiskal defisit negara yang dijangka menjangkau $3.2 billion pada tahun ini.
Di samping itu, Yang Berhormat Pehin berpendapat, perlunya ada pemantauan di peringkat tertinggi agar usaha transformasi dan mempelbagaikan ekonomi oleh semua kementerian adalah on the same page. Apa yang dilihat ialah masih ada kekurangan dalam pensejajaran di kalangan Kementerian di sebalik seruan bagi pendekatan whole of nation dan whole of government. Antara lain sebabnya ialah penggunaan peruntukan tidak dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai objektif peruntukan.
Yang Berhormat Pehin turut menyambut baik kejayaan dalam bidang pendidikan seperti peningkatan ranking semua institusi tinggi dalam negara. Namun beliau memandang situasi seperti dalam laporan JobCentre Brunei yang menyatakan sebanyak 2,760 pencari kerja berijazah berbanding dengan hanya 311 jawatan yang ditawarkan tidak sepatutnya berlaku.
Yang Berhormat Pehin menyarankan agar usaha meningkatkan pencapaian pendidikan disertai juga dengan perkembangan ekonomi supaya para graduan mendapat tempat dalam pasaran kerja. Jika dilihat kepada trend terkini, kajian menunjukkan bahawa 70 peratus tenaga kerja adalah dalam sektor swasta. Ini bererti graduan tidak mengutamakan kerja dengan kerajaan semata-mata tetapi bersedia berkhidmat di sektor swasta.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin turut mempersoalkan keupayaan untuk terus menyediakan pekerjaan yang mencukupi dalam sektor swasta dengan mengambil contoh industri minyak dan gas, agro-makanan, pelancongan, industri binaan, industri pembuatan, perniagaan kecil dan sederhana dan lain-lain.
“Sejauh mana kita berupaya menarik lebih banyak pelabur langsung asing ke negara ini, samada melalui direct investment, joint ventures, Public Private Partnership dengan memberi insentif yang menarik. Dan sejauh mana ia dapat mewujudkan pekerjaan baharu dan menambah baik kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini. Belanjawan yang baik ialah belanjawan yang responsif kepada keperluan negara masa kini, iaitu ekonomi yang berkembang, peluang pekerjaan yang bertambah, kesejahteraan rakyat dan penduduk yang meningkat.
Menyentuh mengenai penjagaan kesihatan, Negara Brunei Darussalam kekal berada dalam kategori negara yang mempunyai Very High Human Development Index dan Yang Berhormat Pehin berharap dengan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan mampu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan serta turut menambah pakar, doktor, jururawat dan kakitangan yang mencukupi.
