Tingkat kewaspadaan memandu semasa Lebaran

Tibanya Syawal merupakan hari kemenangan untuk diraikan selepas berpuasa pada bulan Ramadan.

Ketika ini juga kita berpeluang untuk mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak dikunjungi dan mengeratkan lagi silaturahim.

Namun dalam kegembiraan melakukan aktiviti kunjung mengunjungi ini keselamatan di jalan raya juga perlu dijaga dan ditingkatkan.

Hal ini kerana, hasil pemantauan saya sendiri sesetengah pemandu memandu secara semberono dan membahayakan orang lain.

Seperti mana yang saya hadapi baru-baru ini, ketika hendak masuk ke jalan Beribi, ada seorang pemandu memandu laju dan melulu masuk ke lorong hadapan kereta saya sehinggakan saya nyaris kemalangan.

Walhal saya sudah menggunakan isyarat untuk memasuki laluan tersebut, namun pemandu berkenaan tidak mahu menghentikan kereta, walhal sebenarnya, ia adalah laluan saya.

Saya cuba membunyikan hon sebagai tanda teguran kepada pemandu tersebut tetapi sebaliknya saya diberi isyarat lucah.

Bukan itu saja, semasa musim perayaan ini ada sesetengah pemandu memandu melebihi had laju yang ditetapkan sehingga melanggar peraturan lalu lintas dan membahayakan pemandu dan pengguna yang lain.

Justeru diharap para pemandu perlu tingkatkan kewaspadaan semasa memandu dan janganlah hanya memikirkan keseronokan dan kemeriahan Hari Raya. Dalam masa yang sama para pemandu terutama mereka yang hendak menuju ke destinasi yang jauh perlulah memeriksa keadaan kereta terlebih dahulu sebelum digunakan.

Hj Ghani