Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Bahagian Pendaftar Pertubuhan (ROS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini, telah mengadakan seminar urus tadbir pertubuhan yang membawa tema ‘Meningkatkan Kewaspadaan dan Kapasiti Pertubuhan daripada Disalah Guna untuk Pembiayaan Pengganas’.
Ia diadakan untuk memberi kesedaran mengenai pendedahan sektor organisasi berbentuk bukan keuntungan (NPO) kepada risiko pembiayaan pengganasan di samping mengukuhkan rangkaian dan kerjasama antara sektor pertubuhan dengan pihak berkuasa yang berkenaan.
Seminar yang berlangsung di Auditorium, Ibu Pejabat PPDB, Jalan Tungku Gadong itu dihadiri oleh wakil daripada 41 pertubuhan yang telah berdaftar di bawah ROS yang dibahagikan kepada dua sesi.
Dua taklimat telah dibentangkan semasa seminar berkenaan iaitu ‘NPO dan Risiko Pembiayaan Pengganasan’ yang disampaikan oleh pegawai dari Unit Perisikan Kewangan (UPK), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB). Manakala itu, taklimat bertajuk ‘Urus Tadbir dan Tanggungjawab dalam Pengurusan Persatuan’ telah disampaikan oleh pegawai dari ROS PPDB.
Selepas taklimat, kesemua perwakilan yang hadir diberi peluang untuk mengajukan sebarang persoalan kepada ahli-ahli panel mengenai topik yang dibentangkan.
Bagi mencapai sasaran objektif seminar berkenaan, adalah penting bagi semua pertubuhan untuk diberikan pencerahan maklumat dan pengetahuan yang tepat serta jelas agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sebarang ancaman yang mendatang.
Setiap pertubuhan turut ditekankan mengenai tanggungjawab mereka yang termaktub di bawah Akta Pertubuhan, Penggal 203, untuk mengamalkan urus tadbir yang teratur dan lengkap sebagai langkah perlindungan daripada risiko disalah guna.
