Bukan sahaja alat solekan malahan memakai minyak wangi untuk badan dengan bau harum dan segar juga merupakan faktor yang mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang.
Minyak wangi merupakan campuran daripada pati minyak dan pelarut yang digunakan untuk memberikan bau yang wangi sama ada pada badan atau benda di sekitar kita.
Penggunaan minyak wangi telah menjadi keperluan penting dalam kalangan masyarakat sama ada perempuan mahupun lelaki.
Selain memberikan kesan bau harum pada badan, minyak wangi juga dapat menonjolkan ciri khas dan keperibadian bagi orang yang menggunakannya.
Minyak wangi biasanya menjadi pilihan utama untuk menyebarkan bau yang diinginkan.
Namun, dalam memilih minyak wangi, tidak hanya bau yang perlu dipertimbangkan.
Akan tetapi, adalah penting untuk memahami jenis minyak wangi yang awda pilih agar hasilnya sesuai dengan yang diharapkan.
Jika merasa kesulitan dalam memilih dan membezakan minyak wangi, berikut adalah empat jenis pilihan minyak wangi yang perlu awda cuba.
1. Eau de Parfum (EDP)
Jenis minyak wangi ini mengandungi tahap wangian yang tinggi. Biasanya mengandungi sekitar 15 hingga 20 peratus pati minyak di mana ia lebih tinggi dibandingkan alkohol dan air.
Minyak wangi EDP mampu memberikan bau yang kuat dan juga dapat bertahan selama enam hingga lapan jam.
Bagi yang memiliki kulit sensitif, minyak wangi EDP masih boleh dicadangkan kepada mereka walaupun mengandungi sedikit alkohol.
2. Eau de Toilette (EDT)
EDT merupakan formula yang ringan dan umumnya dijual dalam botol semburan. Ini adalah jenis minyak wangi yang sering menjadi pilihan ramai.
Akan tetapi disebabkan kandungan pati minyak yang lebih rendah dan kadar peratusan alkohol yang lebih tinggi, bau EDT tidak akan bertahan lebih lama.
EDT mengandungi tahap wangian yang lebih rendah daripada minyak wangi EDP, iaitu sekitar 5 hingga 15 peratus.
Walaupun baunya lebih ringan dan tidak sekuat EDP, akan tetapi ia mampu memberikan wangian yang menyenangkan.
3. Eau de Cologne (EDC)
EDC dikenali mengandungi tahap wangian yang ringan, di mana ia mempunyai kandungan pati minyak sekitar dua hingga empat peratus.
Biasanya, EDC disimpan dalam pakej botol besar kerana ia perlu disembur secara berulang kali.
Oleh sebab ia hanya mampu bertahan selama dua jam jadi harganya juga berpatutan.
Meskipun istilah cologne sering dikaitkan dengan minyak wangi lelaki, terdapat juga EDC dengan aroma yang sesuai untuk wanita.
4. Body Mist
Body mist adalah semburan pewangi badan yang mengandungi tahap wangian yang lebih rendah, dengan campuran air dan alkohol.
Body mist mempunyai bau yang ringan dan tidak terlalu kuat, sehingga sangat
sesuai untuk digunakan dalam kegiatan sehari-hari.
Bau dari body mist tidak akan bertahan lama kerana kandungan pati minyak di dalamnya hanya sekitar tiga peratus, di mana ia hanya mampu bertahan selama satu hingga dua jam sahaja.
Tahap wangian yang lebih rendah pada body mist membuat baunya cenderung untuk menghilang dengan cepat. – Agensi