Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Bagi meningkatkan keyakinan untuk mengendalikan pengurusan jenazah dengan betul, seramai 30 orang Muslimah dari Daerah Brunei dan Muara telah menyertai Bengkel Menyempurnakan Jenazah bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid, hari ini.
Bengkel bagi fasa ketiga itu diadakan di Masjid Kampung Sungai Hanching dan dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dikendalikan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.
Dua orang penggapai iaitu Dayang Azizah binti Haji Sulaiman dan Hajah Siti Animi binti Haji Salleh mengendalikan bengkel berkenaan selaku pemudah cara.
Antara tujuan bengkel itu adalah untuk menambahkan lagi pengetahuan para Muslimah yang menyertai bengkel tersebut melalui penerangan secara teori dan praktikal mengenai tatacara pengurusan dan penyempurnaan jenazah.
Ia juga dihasratkan untuk menarik minat para Muslimah masjid untuk menubuhkan kumpulan penggapai di masjid-masjid sekali gus memudahkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat penggapai bagi menyempurnakan jenazah terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.
Selain itu, ia turut menggalakkan penglibatan para Muslimah dalam hal ehwal kemasyarakatan secara aktif dan sukarela. Bengkel akan diteruskan lagi ke daerah yang lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.



