Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 1 Nov – Hampir 200 orang dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah agama Daerah Belait telah menghadiri program motivasi anjuran Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Sekolah Ugama yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama (SU) Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Program Motivasi Bagi Pelajar-pelajar Darjah 6 Sekolah-Sekolah Agama Daerah Belait 1439H/2017M itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan semangat para pelajar yang bakal menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) tidak lama lagi.
Para pelajar yang hadir pada majlis tersebut mewakili SU Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, SU Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, SU Sungai Taring, SU Sungai Teraban, SU Panaga, SU Lumut, SU Perdana Wazir, SU Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan SU Sayyidina Ali.
Hadir selaku penceramah pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Sekolah Ugama Jabatan Pengajian Islam, Hajah Sinega binti Haji Swadi yang antara lain turut memberikan beberapa tip berguna untuk para pelajar sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.
Semasa ditemui oleh Media Permata, Hajah Sinega menjelaskan bahawa ceramah yang disampaikannya itu lebih menjurus kepada memberikan motivasi kepada para pelajar supaya tidak merasa gentar atau takut untuk menghadapi peperiksaan, selain untuk meningkatkan usaha yang lebih tekun demi pencapaian keputusan yang cemerlang.
Menurutnya, persoalan adakah para pelajar boleh menjawab kertas peperiksaan atau tidak, jawapannya ada pada para pelajar itu sendiri, tergantung bagaimana persediaan mereka dan jika semua telah dilakukan dengan teratur segala soalan peperiksaan adalah mudah bagi mereka dan keputusan peperiksaan cemerlang juga akan dicapai.
“Para pelajar perlu mengelakkan daripada belajar atau mengulang kaji pelajaran pada saat-saat akhir menjelangnya peperiksaan, akhirnya kesannya menjadi buruk dan mungkin juga boleh mengganggu kesihatan mereka.
“Lebih baik mengulang kaji pelajaran lebih awal dan mampu membahagikan masa dengan bijak, rehat dan tidur yang cukup, mengambil makanan yang sihat dan berkualiti untuk otak yang sihat dan beriadah,” katanya.
Selain itu, beliau menasihatkan supaya para pelajar perlu mengelakkan daripada membaca sambil berbaring dan lebih penting lagi adalah mendekatkan diri kepada Allah dengan bersolat fardu dan hajat, berdoa serta menjaga hubungan Mahabbah dengan ibu bapa dan meminta mereka mendoakan kerana doa ibu bapa adalah yang mustajab, begitu juga dengan doa-doa daripada guru-guru yang mengajar mereka.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Guru SU Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin bagi memohon keberkatan serta kecemerlangan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai dan pembantu pegawai pengajian Islam kawasan dan daerah, ketua-ketua unit Bahagian Sekolah-sekolah Ugama, guru-guru dan guru besar sekolah-sekolah agama Daerah Belait.
Seramai 596 dari 11 buah sekolah agama Daerah Belait akan menduduki Peperiksaan SSSRU pada 18 November ini dan program hari ini merupakan salah satu usaha ke arah pencapaian cemerlang dalam keputusan peperiksaan itu nanti.