BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna menekankan kepentingan amalan perniagaan yang beretika dan telus ke arah meningkatkan keyakinan pengguna. Ia adalah berikutan daripada pemeriksaan rutin ke atas peserta-peserta acara Jualan Mega Brunei (JMB) 2025 baru-baru ini.
Pemeriksaan rutin berkenaan bertujuan sebagai peringatan untuk para peniaga bagi memastikan terma dan syarat jualan murah adalah jelas dan telus dalam membantu pengguna membuat keputusan pembelian tanpa sebarang kekeliruan atau maklumat yang kurang jelas. Para peniaga turut diingatkan untuk memaparkan tanda harga dengan jelas dan betul selaras dengan Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah dan Perintah Paparan Tanda Harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Amalan perniagaan yang beretika dan telus bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi juga menyumbang kepada persekitaran perniagaan yang dinamik dan mampan. Dengan mematuhi peraturan-peraturan dan mengamalkan amalan perniagaan yang beretika, para peniaga dapat mengekalkan reputasi sebagai peniaga yang dipercayai dan bertanggungjawab, memupuk kepercayaan pengguna dalam jangka panjang.
Pemeriksaan JPES merangkumi pelbagai jenis kategori perniagaan di sekitar negara ini, termasuk gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai perabot dan dekorasi rumah, kedai barangan elektrik, serta kedai kain dan tekstil.
Kegagalan dalam mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 dan bagi kesalahan berulang akan dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.
Orang ramai adalah digalakkan melaporkan sebarang amalan jualan murah yang tidak beretika melalui saluran-saluran rasmi iaitu Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak, atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn, dengan menyertakan dokumen sokongan sebagai bukti. Ini adalah penting bagi membolehkan JPES untuk membuat susulan dan mengambil tindakan yang bersesuaian.