Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat keyakinan, perlindungan pasaran domestik ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Mesyuarat ke-28 Jawatankuasa ASEAN mengenai Perlindungan Pengguna (ACCP) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) bermula hari ini di Hotel Radisson, di ibu negara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mesyuarat empat hari itu akan mengongsikan perkembangan dan mempertimbangkan inisiatif-inisiatif dan hasil utama di bawah Pelan Tindakan Strategik Perlindungan Pengguna ASEAN (ASAPCP) 2025 dan isu perlindungan pengguna yang terkini termasuk e-dagang rentas sempadan, keselamatan produk dan kepentingan pemerkasaan pengguna.

    Mesyuarat dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari agensi perlindungan pengguna dari negara-negara anggota ASEAN, bersama wakil dari Sekretariat ASEAN, dan Timor-Leste sebagai pemerhati.

    Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JPES, Dayang Heidi Farah binti Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya antara lain mengucapkan terima kasih atas komitmen kolektif para perwakilan dalam usaha untuk mengukuhkan rejim perlindungan pengguna yang bertujuan bagi meningkatkan keyakinan dalam pasaran domestik dan rentas sempadan di rantau ASEAN.

    “Usaha ini akan memberi ruang untuk pengembangan pasaran dan meningkatkan peluang perdagangan,” ujarnya.

    Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Penolong Ketua Eksekutif Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS), Loke Shiu Meng yang telah menekankan peranan penting ACCP dalam memupuk landskap pengguna yang berdaya tahan dan inklusif di rantau ASEAN dalam peralihan transformatif yang didorong oleh revolusi digital, dinamik geopolitik, dan tren terkini yang memberi kesan kepada kesejahteraan pengguna serantau.

    Beliau menegaskan keperluan bagi membina mekanisme perlindungan pengguna yang mantap, mengukuhkan penguatkuasaan dan kerjasama rentas sempadan, memupuk kepercayaan dalam pasaran, dan menggalakkan perniagaan untuk mempraktikkan amalan yang wajar.

    “Tindakan ini akan menjana inovasi, interaksi yang bermanfaat antara pengguna dan perniagaan, serta pertumbuhan mampan dan inklusif di rantau ASEAN,” tambahnya.

    Mesyuarat berkaitan yang melibatkan rakan pembangunan ACCP juga akan diadakan bagi membincangkan dan mengemas kini program dan inisiatif di bawah Program Hal Ehwal Pengguna (CAP), yang dilaksanakan dengan kerjasama suruhanjaya persaingan dan perlindungan dari Australia dan New Zealand.

    Dayang Heidi Farah bergambar ramai semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Loke Shiu Meng semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda