Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kolaborasi, perkukuh daya saing ekonomi

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Kepentingan memupuk kolaborasi dalam perniagaan, industri dan sempadan harus diberikan penekanan kerana ia mampu memperkukuhkan daya saing, daya tahan serta mempromosikan kepelbagaian sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi mampan.

    Penekanan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan khas semasa Acara Forum dan Rangkaian, Enterprise Growth Connect (EGC), yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

    Acara yang membawa tema, Unlocking Potential Through Collaboration, dianjurkan oleh LKEB di mana EGC menyediakan sebuah platform untuk meraikan pencapaian syarikat-syarikat dalam inisiatif pertumbuhan LKEB, memupuk hubungan dan memberikan inspirasi kepada pemimpin-pemimpin perniagaan.

    Acara itu menyaksikan penyertaan kira-kira 380 orang yang terdiri daripada usahawan, pemimpin perniagaan dan profesional daripada pelbagai industri di mana ia menawarkan peluang yang unik untuk meneroka bagaimana kolaborasi memacu pertumbuhan serta kejayaan perniagaan.

    Forum itu mengetengahkan bagaimana kolaborasi boleh meningkatkan persefahaman dan menggabungkan pelbagai perspektif serta kemahiran untuk mencetus inovasi, mengubah cabaran kepada peluang dan mengubah idea kepada pencapaian yang nyata melebihi apa yang boleh dicapai oleh individu secara persendirian.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara yang hadir semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Terdahulu dalam acara berkenaan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB, Daniel Leong dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa dalam persekitaran yang kompetitif dan pantas berubah, adalah semakin sukar untuk perniagaan mencapai kejayaan secara persendirian.

    Oleh itu, kolaborasi merentas industri, bersama rakan kongsi antarabangsa atau rangkaian tempatan, ulasnya, boleh membuka peluang baharu bagi pertumbuhan.

    Beliau menyatakan LKEB adalah komited untuk memupuk kerjasama berkenaan serta memastikan perniagaan-perniagaan Brunei dapat mengakses sumber, kepakaran dan pasaran yang diperlukan untuk maju.

    Dalam hubungan itu, insiatif-inisiaif seperti Program DARe LINKS dan i-Usahawan direka untuk memudahkan hubungan berkenaan, membantu meningkatkan keterangkuman penyertaan para perniagaan baharu dan kecil serta menyokong pertumbuhan perniagaan mampan.

    Forum itu mengetengahkan dua orang pembentang ucaptama antarabangsa iaitu Pengasas Bersama Sometime by Asian Designers, Stan Chooi dari Malaysia; dan Ketua Pegawai Eksekutif PT Nava Sari Kreasi dan Pengasas Kebab Turkiye Baba Rafi, Nilamsari.

    Stan Chooi dalam pembentangannya mengongsikan bagaimana kolaborasi merupakan salah satu daripada strategi perniagaan utamanya.

    Beliau menjelaskan bagaimana usaha itu membolehkan syarikat memasuki pasaran baharu, menyesuaikan diri kepada permintaan pengguna yang berubah serta mengembangkan perniagaan daripada platform dalam talian kepada kedai fizikal.

    Sementara itu, Nilamsari dalam pembentangannya mengetengahkan manfaat pengembangan perniagaan menerusi francais dan menekankan kolaborasi dengan pemegang francais menawarkan pandangan berharga dalam keutamaan tempatan serta perbezaan kebudayaan, membolehkan perniagaan menyesuaikan diri, berinovasi serta kekal kompetitif dalam pasaran baharu.

    Forum itu juga mengetengahkan para usahawan tempatan dalam sesi perbincangan panel yang disertai oleh Pengasas OMNI Sports International Sdn Bhd, Kenneth Han; dan Pengasas BruHaHa Comedy Productions, Awang Zainal Bostaman dengan sesi dikendalikan oleh DJ Radio dan Pengarah Urusan Relentless Entertainment, Amy Cheong.

    Panel berkenaan menawarkan perspektif industri yang meluas, menangani cabaran-cabaran perniagaan, strategi dan peluang di mana ia menjadikan perbincangan amat menarik serta relevan kepada para peserta acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda