Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Bagi meningkatkan kompetensi dan keyakinan guru dalam penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran, seramai 30 orang guru agama, kelmarin, menyertai Program Kesedaran Penggunaan Media Sosial yang telah diadakan selama empat hari, di Makmal Komputer, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah.
Program anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI) melalui Unit ICT yang dijalankan di sekolah-sekolah Arab dan agama seluruh negara ini telah dimudahcarakan oleh Ketua Unit ICT, Dayang Rosyanti binti Haji Lamat selaku ketua fasilitator.
Di dalam kenyataan yang diberikan, berdasarkan soal selidik awal yang dijalankan oleh Unit ICT, didapati banyak pelajar yang tidak berkemahiran menilai informasi yang diperoleh dari laman-laman media sosial.
Oleh itu, terdapat kekurangan dari sudut kaedah pengajaran dan pembelajaran atau kekurangan kompetensi guru dalam bidang literasi media baharu dan salah satu untuk meningkatkan kompetensi guru adalah melalui aktiviti digital storytelling.
Bengkel Digital Storytelling ini mendedahkan para peserta kepada lapan proses kreatif penceritaan digital (digital storytelling) yang antaranya ialah pembuatan skrip dan papan cerita (storyboard), rakaman dan perkongsian video.
Dalam pembuatan cerita, isi kandungan yang diguna pakai akan menggunakan tajuk-tajuk yang ada disediakan di dalam Pakej Pembelajaran Media Sosial terbitan pihak AITI dan BruCERT. Melalui aktiviti ini, peranan para peserta bukan sahaja sebagai penerima (pengguna) maklumat, malah berperanan sebagai pencipta (producer) maklumat.
Berikutan dari bengkel ini, para peserta dikehendaki mengadakan bengkel yang serupa (cascading) untuk dikongsikan melalui program pembangunan profesional guru yang berterusan di sekolah masing-masing.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran guru dalam kesan penggunaan aplikasi media sosial di samping meningkatkan kompetensi guru dalam menilai kredibiliti maklumat dan informasi yang diperoleh dari media sosial, terutama yang mengandungi informasi yang menyentuh mengenai agama Islam.
Ia juga untuk mendedahkan guru kepada pedagogi inovatif dalam mengaplikasikan suasana pembelajaran konstruktif, yang berpotensi meningkatkan kemahiran pelajar sesuai dengan keperluan abad ke-21.
