BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Forum Asia Inc dan rakan utamanya, Bank Baiduri akan mengadakan Program Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) 2017 bermula pada 27 hingga 28 September depan bertempat di Hotel Radisson di ibu negara.
Menurut kenyataannya, di sini, antara pengisian program tersebut ialah sesi forum yang menumpukan kepada pencarian peluang dalam cabaran masa dan sesi bengkel mengenai ‘Lean Startup Principles’.
Program yang dibukakan kepada kira-kira 150 orang pemilik perniagaan dan pengurus tempatan, eksekutif korporat dan profesional itu antara lain bertujuan bagi membantu mereka mendapatkan hasil yang lebih baik dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi.
Forum LBD tersebut akan menampilkan penceramah dari luar negara yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perniagaan bagi membantu merangsang pemikiran kreatif para peserta terhadap prospek dan kesukaran dalam perniagaan.
Menurut Pengurus Besar Forum Program Rantau Asia Inc, Andrew Dy, Program LBD tahun ini merupakan produk maklum balas kolektif dari tahun-tahun sebelumnya.
Jelasnya, agenda dan format perbincangan akan dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan tempatan bagi mencapai keputusan yang mereka inginkan.
Program LBD Forum Asia Inc, kini dalam tahun ke-11nya adalah merupakan platform untuk pembelajaran yang berkualiti tinggi, perkongsian dan pembinaan hubungan sebagai sokongan kepada pembangunan perniagaan tempatan dan strategi kepelbagaian ekonomi kerajaan.
Program LBD disokong oleh Borneo Bulletin sebagai rakan kongsi media dan MMW sebagai rakan kongsi kreatif.