Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kualiti hidup melalui mobiliti

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Salah satu cabaran utama yang dihadapi negara adalah populasi warga emas yang semakin meningkat.

    Demografi yang kini merangkumi kira-kira 6.9 peratus jumlah penduduk keseluruhan itu lebih mudah terdedah kepada patah kerapuhan, jatuh, ketidakupayaan berkaitan artritis dan peningkatan risiko jangkitan akibat pelbagai komorbiditi perubatan.

    Antara patah kerapuhan yang paling membimbangkan ialah patah tulang leher femur, yang telah menyaksikan peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini. Pada 2012, terdapat 12 kes, meningkat kepada 53 kes pada 2018 dan pada masa ini, kira-kira 80 kes dirawat setiap tahun.

    Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dalam ucapannya di Perjumpaan Saintifik Dwitahunan Persatuan Ortopedik Brunei Darussalam ke-5 di The Empire Brunei, hari ini.

    Terdahulu, dalam kata alu-aluannya, Presiden Persatuan Ortopedik, Dr Haji Muhammad Khairul Azmi bin Haji Abdul Kadir menerangkan bahawa tema perjumpaan kali ini, Memperkasa Kesihatan Awda Melalui Mobiliti, menekankan peranan penting yang dimainkan oleh mobiliti dalam meningkatkan kualiti kehidupan.

    Beliau menyatakan bahawa mengekalkan mobiliti adalah berkait rapat dengan kurangnya insiden penyakit kronik seperti obesiti, masalah kardiovaskular dan diabetes.

    Selain kesihatan fizikal, mobiliti yang lebih baik juga memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental dengan mengurangkan keadaan seperti kemurungan dan kebimbangan, jelasnya lagi.

    Perjumpaan itu menyaksikan penyertaan kira-kira 300 orang di mana topik yang dibincangkan meliputi bidang-bidang utama ortopedik yang relevan bukan sahaja kepada pakar bedah ortopedik tetapi juga profesional penjagaan kesihatan termasuk doktor kecemasan dan kemalangan, pakar-pakar daripada pelbagai bidang, profesional kesihatan bersekutu dan jururawat yang berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta.

    Dr Hajah Rafidah menyempurnakan perasmian perjumpaan berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang menghadiri Perjumpaan Saintifik Dwitahunan ke-5 yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda