Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Lapan orang peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran antara Pegawai-pegawai Masjid Senegara ke-8 sempena Sambutan Jubli Intan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ke-60, kelmarin.
Pada pertandingan yang diadakan di Bahtera Mahligai (Lagon) Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu, gelaran johan telah disandang oleh Awang Mohammad Rafi’uddin bin Haji Ramli dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien manakala itu, Haji Sudirman bin Haji Metussin pula mendapat tempat kedua dan diikuti oleh Haji Masri bin Haji Mohammad di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Pertandingan kelolaan Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien juga diadakan bagi mengembalikan dan menghidupkan lagi nostalgia silam di tempat pernah berlangsungnya pertandingan membaca ayat-ayat suci Al-Quran peringkat kebangsaan Negara Brunei Darussalam suatu masa dahulu.
Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti pembacaan para pegawai masjid ke tahap yang terbaik di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan seharian khususnya kepada para pegawai masjid.
Ia juga dihasratkan untuk memupuk semangat keislaman, keimanan dan ukhuwah persaudaraan islamiah dalam kalangan para pegawai masjid sekali gus dapat menghayati isi kandungan Al-Quran untuk dijelmakan dalam kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara serta menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.
Pertandingan yang juga merupakan acara sampingan sempena Sambutan Jubli Intan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ke-60 itu juga merupakan salah satu projek tahunan Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Pihak penganjur berharap dengan adanya pertandingan ini akan dapat melahirkan pegawai masjid yang boleh dijadikan sebagai contoh atau role model kepada pegawai-pegawai masjid yang lain khususnya dan kepada ahli jawatankuasa serta para jemaah masjid di mana tempat mereka ditugaskan secara umumnya dan seterusnya membaca Al-Quran itu akan menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Turut Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; pegawai kanan dan kakitangan daripada KHEU, Pasukan Polis Diraja Brunei, jemaah masjid dan penduduk kampung sekitarnya.