Tingkat kualiti VAR – Klopp

LAUSANNE, SWITZERLAND, 12 NOV – Sehari selepas Liverpool menundukkan Manchester City dalam perlawanan penting yang menyaksikan Video Bantuan Pengadil (VAR) turut mencetus kontroversi, jurulatih pendahulu Liga Perdana Jurgen Klopp menggesa supaya kualiti sistem itu dipertingkatkan.

Selain Klopp, rakan sejawatnya dari City, Pep Guardiola, jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dan pengendali Paris Saint-Germain (PSG) Thomas Tuchel turut menghadiri forum jurulatih Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) di Nyon, Switzerland, semalam di mana VAR menjadi topik hangat.

“Jelas ia adalah proses yang mana mereka perlu terus meningkat,” kata Klopp. “Ia boleh bertambah baik, ada banyak perkara yang perlu dilakukan oleh manusia dan kami juga tidak 100 peratus pasti.

“Ada ruang untuk melakukan beberapa kesilapan, tiada siapapun yang meminta kesempurnaan, hanya untuk mendapatkan keputusan yang betul, itu saja.”

Komen pengendali dari Jerman itu hadir sehari selepas perlawanan menarik Liga Perdana musim ini yang menyaksikan VAR digunakan seawal minit keenam permainan apabila City berpotensi memperoleh penalti selepas pertahanan Reds, Trent Alexander-Arnold menyentuh bola menggunakan tangannya.

Bukan saja VAR gagal untuk mengubah keputusan pengadil untuk memberikan City penalti, malah pelawat turut dihukum 22 saat kemudian apabila pemain tengah tuan rumah, Fabinho meledak gol pembukaan 22 saat selepas insiden itu berlaku. Setiausaha Agung UEFA, Giorgio Marchetti berkata keseragaman diperlukan tetapi turut meminta masa sebelum sistem berkenaan benar-benar berjaya.

“Kini kita mempunyai VAR, ia agak berguna di mana jurulatih dan wakil kepada pengadil boleh berbincang,” kata Marchetti. “Jangan lupa yang VAR juga amat baharu dan ia adalah revolusi terhadap permainan. Apa yang kami perlukan ialah keseragaman.” – AFP

Klopp memberi isyarat kepada pemainnya di akhir perlawanan Liga
Juara-Juara Kumpulan E antara Liverpool dan Genk di Stadium Anfield, Liverpool. – AP