Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat liputan Taksonomi ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), dengan kerjasama Sustainable Finance Institute Asia (SFIA), telah menganjurkan Mesyuarat Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) di Hotel Antarabangsa Rizqun, baru-baru ini.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Urusan, (Operasi Monetari/Perkembangan dan Antarabangsa), BDCB, Awang Mardini bin Haji Eddie.

    Antara lain perkara yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah kemajuan terkini bagi pembangunan Taksonomi ASEAN Versi 4 bagi Kewangan Lestari, yang bertujuan untuk meningkatkan liputan Taksonomi ASEAN, berikutan penerbitan Versi 3 yang telah pun dimuktamadkan pada 20 Disember 2024.

    BDCB turut menganjurkan satu webinar mengenai kegunaan praktikal dan perkembangan terkini Taksonomi ASEAN, bersempena dengan pemuktamadan Taksonomi ASEAN Versi 3.

    Awang Mardini, selaku Pengerusi ATB, dalam ucapatamanya antara lain menekankan kebolehoperasian dan penjajaran merupakan prinsip-prinsip pembangunan utama dalam seni bina dan reka bentuk Taksonomi ASEAN.

    Awang Mardini bergambar ramai pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN BDCB
    GAMBAR SERAHAN BDCB

    Ini membolehkan negara-negara anggota ASEAN menyesuaikan taksonomi kebangsaan masing-masing kepada Foundation Framework atau Plus Standard Taksonomi ASEAN.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan Taksonomi ASEAN Versi 3 telah diperkukuhkan dengan penambahan kes penggunaan Foundation Framework untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dokumen soalan-soalan lazim.

    Beliau seterusnya menekankan kepentingan webinar tersebut sebagai platform untuk meneroka penggunaan praktikal Taksonomi ASEAN, di samping memberikan pandangan mengenai perkembangan terkini dalam landskap kewangan lestari di rantau ASEAN serta bagaimana usaha nasional dan serantau diselaraskan melalui taksonomi tersebut.

    Webinar diteruskan dengan pembentangan oleh ahli Lembaga Alternatif ATB dan Pengurus Am (Hal Ehwal Antarabangsa) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Khairul Ridzwan, yang memberi pengenalan kepada Taksonomi ASEAN Versi 3.

    Acara tersebut juga menampilkan perbincangan panel yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SFIA, Eugene Wong dengan Fonthip Yuthaseree dari Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Thomas Leonard dan Jerus D’Silva dari DNV selaku ahli-ahli panel.

    Panel tersebut turut membincangkan kes-kes penggunaan praktikal yang berkaitan dengan pelaksanaan Taksonomi ASEAN.

    Selain itu, ia juga membincangkan perkembangan terkini mengenai inisiatif-inisiatif taksonomi negara, dengan tumpuan kepada Indonesia, Filipina dan Thailand, serta bagaimana taksonomi negara ini diselaraskan dengan Taksonomi ASEAN.

    Sesi tersebut dikendalikan oleh Khairul Ridzwan. Ahli-ahli panel termasuk Timbalan Pengarah, Kewangan Lestari, Autoriti Jasa Kewangan, Indonesia, Jarot Suroyo; Timbalan Ketua Setiausaha, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand, Thawatchai Pittayasophon ; dan Penolong Pengarah, Jabatan Pengawalseliaan Pasaran dan Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina, Atty. Emma Valencia
     
    Selain daripada ahli-ahli ATB, wakil-wakil daripada badan-badan sektor ASEAN, organisasi antarabangsa, industri serantau dan tempatan, pengantara, dan orang awam juga telah menghadiri webinar tersebut secara maya.
     
    Antara yang hadir pada mesyuarat itu, ahli-ahli ATB dari BDCB, Insurance Regulator of Cambodia, Bank Negara Kemboja, Non-Bank Financial Services Authority of Cambodia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Kemboja, Autoriti Jasa Kewangan, Indonesia, Bank Negara Rakyat Demokratik Laos, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Kewangan dan Perancangan Myanmar, Bangko Sentral ng Pilipinas, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina, Autoriti Monetari Singapura dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand. 
     
    Turut hadir termasuk wakil-wakil daripada SFIA, sebagai hos kepada ATB, dan ADB.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda