Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dalam usaha meningkatkan pembangunan kemahiran ICT dan literasi digital bagi komuniti berkeperluan khas di Negara Brunei Darussalam, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan BIG BWN Project telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Pejabat AITI, Anggerek Desa, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar dan Pengasas dan Ketua Projek BIG BWN Project, Dayang Noorhafizah binti Haji Rashid.
Turut menandatangani selaku saksi ialah Timbalan Ketua Eksekutif, Pembangunan, AITI, Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad dan Penolong Projek, BIG BWN Project, Awang Rafie bin Baharuddin.
Kolaborasi itu bermatlamat untuk memperkasakan individu dengan kemahiran ICT yang diperlukan, membolehkan mereka untuk mengemudi dunia digital dengan yakin.
Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama atas inisiatif-inisiatif menumpukan kepada pembangunan kapasiti manusia, pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran serta memajukan penglibatan digital.

Di bawah payung MoU berkenaan, AITI dan BIG BWN Project menandatangani perjanjian untuk merasmikan pelaksanaan projek Digital for All, yang direka khusus untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan individu berkeperluan khas di Negara Brunei Darussalam.
Bagi inisiatif berkenaan, BIG BWN Project akan bekerjasama dengan organisasi-organisasi berkeperluan khas untuk melatih wakil-wakil mereka sebagai jurulatih literasi digital.
Jurulatih seterusnya akan menyampaikan latihan ICT khusus kepada komuniti masing-masing, memastikan para peserta mendapatkan kemahiran digital relevan dan keyakinan dalam menggunakan teknologi.
Dengan membangunkan sebuah rangkaian jurulatih, kolaborasi berkenaan bermatlamat untuk menubuhkan sebuah model berskala dan mampan bagi penglibatan serta pendidikan digital berterusan.
Kedua-dua AITI dan BIG BWN Project komited untuk bekerjasama bagi mengembangkan inisiatif-inisiatif literasi digital dan memupuk sebuah masyarakat siaga masa depan di Negara Brunei Darussalam.
Kolaborasi itu mencerminkan visi bersama untuk memperkasakan masyarakat menerusi teknologi dan memastikan bahawa transformasi digital memberikan manfaat kepada semua ahli masyarakat.