Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 29 Sept – Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait hari ini mengadakan program nilai tambah, ‘ACE Mathematic’ dalam usaha untuk meningkatkan kejayaan keputusan bagi subjek Matematik pada Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi Sekolah-sekolah Rendah Kluster 6, 2017.
Program tersebut diadakan serentak di tiga zon sekolah-sekolah rendah iaitu di Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Kuala Belait; Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria dan Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut.
Program di Sekolah Rendah SOAS Kuala Belait melibatkan penyertaan pelajar-pelajar Tahun 6 dari Sekolah Rendah Sungai Teraban, Sekolah Rendah Kuala Belait, Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin dan Sekolah Rendah SOAS.
Manakala program di Sekolah Rendah Muhammad Alam pula melibatkan penyertaan pelajar daripada Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga, Sekolah Rendah Panaga dan Sekolah Rendah Muhammad Alam.
Sementara program di Sekolah Rendah Sungai Tali melibatkan penyertaan Sekolah Rendah Sungai Liang, Sungai Rendah Lumut, Sekolah Rendah Labi, Melilas, Merangking, Bukit Sawat dan Sekolah Rendah Sungai Tali.


‘ACE’ adalah singkatan bagi perkataan Aktif, Yakin dan Cemerleng dengan hasrat untuk membantu meningkatkan minat pelajar-pelajar dalam Subjek Matematik.
Program tersebut dapat diaplikasikan daripada apa yang dipelajari di dalam kelas kepada luar daripada sekolah serta merupakan salah satu daripada program tahunan yang disasarkan kepada penglibatan murid-murid ‘priority’ iaitu mereka yang mendapat keputusan Gred ‘D’ dan ‘E’ semasa peperiksaan penilaian.
Pegawai Pelajaran Kanan/Ketua Kluster 6, Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait, Dayang Asmah binti Awang Tengah ketika ditemui menjelaskan, dalam Program ‘ACE Mathematic’ ini, peserta-peserta akan turut dibantu oleh pelajar-pelajar Kluster 6 yang memperoleh Gred ‘A’ hingga ‘C’ yang dinamakan ‘buddies’.
Dalam masa yang sama untuk meningkatkan motivasi pelajar berkenaan melalui aktiviti yang juga menyeronokkan mereka di sepanjang program diadakan.
Menurut beliau, susulan kejayaan yang terbukti melalui program-program yang lalu, ia sekali lagi diteruskan tahun ini dengan format yang berbeza tetapi dengan objektif yang sama iaitu untuk meningkatkan kemahiran dan fokus para pelajar sebelum menjelangnya peperiksaan yang akan bermula pada 21 Oktober ini.
Program itu juga adalah untuk meningkatkan semangat kerjasama di kalangan guru-guru dalam Kluster 6 untuk sama-sama berbincang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang boleh menaikkan kejayaan para pelajar mereka supaya lebih efektif dan lebih memotivasikan pelajar.
Program pada tahun ini, melibatkan perlaksanaan seorang guru besar sebagai peneraju untuk mengatur kerjasama dengan sekolah-sekolah lain di zon masing-masing.
Bagi Sekolah Rendah SOAS Kuala Belait, guru peneraju ialah Guru Besar sekolah itu, Dayang Hajah Nur Zurina binti Haji Assim, manakala bagi Sekolah Rendah Muhammad Alam ialah Timbalan Guru Besarnya, Haji Ide Ismawee bin Haji Ismail dan Sekolah Rendah Sungai Tali ialah Guru Besarnya Hajah Sarina binti Haji Yahya.