Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Seramai 150 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), ahli-ahli Jawatankuasa Belia Daie serta orang awam telah menyertai Program Ilm Series bertajuk Memahami Jenis-jenis Darah Wanita anjuran Badan Sukarelawan Belia Daie di bawah naungan Urus Setia Program Keagamaan Belia di Dewan Persidangan, PDI, hari ini.
Ceramah semasa program itu disampaikan oleh Timbalan Dekan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Zurairatul Zakiah binti Dato Seri Setia Haji Rajid yang antara lain mengga-riskan pengertian, ciri, cara, perbezaan dan perkiraan hari berkenaan hadas besar wanita: haid, istihadhah dan nifas, serta hukumhakam mengenainya.
Antara tujuan program itu diadakan adalah untuk memperkenalkan dan membantu masyarakat awam mendalami teori dan memperkasa asas-asas fardu ain yang menjadi kewajiban seharian seorang Muslim.
Ini termasuk merungkai permasalahan berkaitan hadas besar wanita seperti darah haid, istihadhah dan nifas.
Ia bukan hanya bermanfaat untuk kaum wanita malah kaum lelaki selaku suami dan bapa yang berperanan memastikan bahawa isteri dan anak-anak perempuan mereka mendapat pengetahuan secukupnya mengenai ilmu agama.
Di samping itu, program juga diadakan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan ahli-ahli Jawatankuasa Belia Daie selain memberi galakan dan bersedia ke hadapan membantu masyarakat awam yang memerlukan panduan dan jawapan bagi sebarang kemusykilan tentang pengetahuan agama termasuk berkaitan dengan wanita.
