Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pemahaman konsep hibah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang kepentingan memahami konsep hibah secara menyeluruh, Program Pendidikan Syariah bertajuk Hibah: Satu Solusi Perwarisan Harta telah diadakan di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

    “Program ini termasuk pengetahuan mengenai hak-hak dalam menuntut harta yang dihibahkan atau diwarisi menurut perspektif Islam dan melalui prosedur-prosedur yang benar,” jelas Dekan Fakulti Syariah, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian selaku pengerusi bersama Ppogram semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu.

    Beliau seterusnya menambah program itu diharapkan dapat menerangkan manfaat hibah sebagai solusi dan persediaan awal dalam pengurusan harta.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

    Menurut Haji Mohd Syahiran, program itu merupakan satu platform perkongsian dan pendedahan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hukum syarak untuk orang ramai khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam dan luar KUPU SB.

    Yang Berhormat Pengiran Haji Isa hadir bersama tetamu lain pada majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    “Program ini juga dihasratkan menjadi satu mekanisme dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan maklumat kepada orang awam bersesuaian dengan pendekatan-pendekatannya agar mudah difahami dan dimanfaatkan,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan mengenai signifikan pemilihan tema bagi program tersebut kerana masyarakat kurang pendedahan mengenai konsep hibah.

    “Walaupun sering mendengar perkataan hibah tetapi tidak jelas apa sebenarnya hibah, peranan dan fungsi hibah, sementara realiti kehidupan dalam harta perwarisan, isu dan cabarannya semakin memuncak,” tegasnya.

    Selain itu, program juga memberikan pendedahan kepada masyarakat hak-hak dalam menuntut harta yang dihibahkan atau diwarisi menurut perspektif Islam dan melalui prosedur-prosedur yang benar.

    Dalam masa yang sama, tambahnya, program itu juga bertujuan memberikan ilmu pengetahuan dan kefahaman yang lebih mendalam tentang manfaat hibah sebagai solusi dan persediaan awal dalam pengurusan harta khususnya pemberian hak-hak kepada mereka yang patut menerima.

    Dengan adanya program ini, ia diharapkan dapat mencapai matlamatnya seperti yang dirancang dan memberikan impak yang tinggi kepada diri sendiri dan orang lain dalam sama-sama membangunkan dan mendaya upayakan kemampuan ummah dalam menyelesaikan isu permasalahan dalam realiti cabaran kehidupan dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda