Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pemahaman prinsip persaingan sihat dalam pasaran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) melalui Sekretariat Eksekutif CCBD telah menganjurkan sesi advokasi bertajuk Competing Fairly in Brunei: An Overview of the Competition Act, Chapter 253 dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) Sekolah Perdagangan dan Ekonomi (SBE) pada 11 November lalu.

    Sesi berkenaan dihadiri oleh para pelajar dan pensyarah UBD SBE sebagai sebahagian daripada siri seminar fakulti berkenaan bagi memperluas pemahaman mengenai dasar ekonomi dan rangka kerja pengawalseliaan di Negara Brunei Darussalam.

    Semasa sesi, pegawai-pegawai dari Sekretariat Eksekutif CCBD memberikan penerangan mengenai Akta Persaingan, Bab 253 termasuk larangan terhadap perjanjian anti-persaingan, penyalahgunaan kedudukan dominan serta penggabungan yang boleh mengurangkan persaingan dalam pasaran. Pembentangan turut menjelaskan bagaimana akta berkenaan menyokong pasaran yang adil dan berdaya saing demi manfaat pengguna serta perniagaan.

    Para peserta turut didedahkan kepada kajian kes sebenar di rantau ini, menunjukkan kepentingan penguatkuasaan undang-undang persaingan dan kesan negatif amalan anti-persaingan terhadap pasaran.

    Sesi itu juga menampilkan kuiz interaktif dan segmen soal jawab yang menggalakkan penglibatan aktif peserta.

    Melalui inisiatif tersebut, CCBD meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai akta persaingan dalam kalangan pelajar, tenaga pengajar dan para profesional masa hadapan.

    Usaha memperkukuh pemahaman terhadap prinsip persaingan sihat itu diharap dapat membantu memupuk budaya pematuhan dan integriti selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 ke arah membina ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CCBD dalam mengadvokasikan manfaat persaingan dan memupuk budaya pematuhan di Negara Brunei Darussalam.

    Antara peserta yang hadir pada sesi advokasi tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda