Monday, December 23, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pembangunan kemahiran profesional

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Lembaga Tadbir ke-35, SEAMEO VOCTECH hari ini telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Laporan Pemantauan Pendidikan Global (GEM) Tahun 2023 untuk Asia Tenggara dan Sesi Perkongsian Mengenai TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital
     
    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kerna Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH itu ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
     
    Laporan GEM, yang dihasilkan oleh UNESCO dengan kerjasama SEAMEO, bertajuk Technology in Education: A Tool on Whose Terms?, mengkaji bagaimana teknologi digunakan dalam pendidikan di 11 buah negara Asia Tenggara, termasuk Negara Brunei Darussalam. Melaluinya, ia turut bertujuan untuk menyeru pihak kerajaan untuk memastikan teknologi dalam pendidikan adalah sesuai, saksama dan berskala, memfokuskan kepada sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
     
    Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek antaranya menjelaskan dunia pendidikan sedang mengalami anjakan yang ketara, dengan teknologi di barisan hadapan dalam transformasi ini.
     
    Peralihan ini penting untuk institusi post-secondary TVET, di mana pendidikan digital memainkan peranan utama dalam merapatkan jurang antara pembelajaran tradisional dan kemahiran masa depan yang bagi memenuhi tuntutan industri. 
    Antara yang hadir semasa mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    “Pendigitalan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk memastikan institusi TVET kekal relevan dalam perkembangan pesat dunia. Dalam kami menyediakan pelajar-pelajar kita untuk tenaga kerja masa depan, menyepadukan alat dan platform digital ke dalam pengalaman pembelajaran mereka akan menjadi penting dalam pembangunan kemahiran yang diperlukan untuk ekonomi abad ke-21,” tambahnya. 
     
    Haji Norjemee turut berkata dengan adanya laporan itu, yang menyatakan status terkini menekankan cabaran dan langkah seterusnya dalam menjayakan pengintegrasian teknologi dalam pendidikan, di mana beliau turut percaya perkara itu akan memainkan peranan penting dalam merangka pelan hala tuju negara untuk mendigitalkan TVET. 
     
    “Sebagai tambahan, sebagai pusat latihan serantau untuk TVET, dapatan laporan akan memberikan kami maklumat yang membolehkan kami mereka bentuk inisiatif pembinaan kapasiti yang akan meningkatkan kemahiran digital para pengajar dan memperkasakan pemimpin TVET dalam menyediakan institusi mereka untuk Revolusi Industri (IR) 4.0,” jelasnya. 
     
    Di samping itu, beliau turut menaruh harapan majlis pelancaran laporan itu akan menjadi platform untuk meneroka penemuan utama dan cadangan laporan dalam konteks serantau, dengan khas penekanan kepada Negara Brunei Darussalam. 
     
    Sementara itu, menerusi Sesi Perkongsian Mengenai TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital itu bertujuan untuk meneroka bagaimana sistem TVET boleh menyepadukan kemampanan dan keterangkuman untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat. Sumbangan-sumbangan daripada ahli-ahli lembaga tadbir dan golongan pakar industri dari GIZ RECOTWIN, Labtech International, CAITO dan NISAI memberikan pandangan berharga tentang pembangunan kurikulum, latihan guru dan menyelaraskan TVET dengan keperluan perubahan industri moden.
     
    Mesyuarat ini akan diikuti dengan aktiviti work-life balance yang diadakan esok dengan menampilkan lawatan bersiar-siar di sekitar Bandar Seri Begawan dan juga kunjungan ke salah sebuah pusat pendidikan iaitu Sekolah Penerbangan dan Hospitaliti di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) serta aktiviti kejohanan sukan boling akan menjadi aktiviti penutup acara.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda