Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pengalaman, pupuk perpaduan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Setelah mengharungi pelbagai pengalaman dan pendedahan kepada isu pembangunan mampan dan biodiversiti, para peserta daripada lebih 21 buah universiti-universiti dalam Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD) diraikan dalam Majlis Penutup Perkhemahan Musim Panas UBD-AUN 2024 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar, Pemangku Naib Canselor UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean serta wakil-wakil dari Sekretariat AUN.

    Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Hajah Tutiaty mengetengahkan pentingnya kemampanan dan transformasi digital dalam dunia masa kini dan memuji dedikasi serta ketekunan para peserta di sepanjang perkhemahan berkenaan.

    Beliau juga menyeru mereka selaku pemangkin perubahan untuk menyokong kemampanan dan menjadi pembela bagi dunia yang lebin hijau dan mampan. Beliau turut menyatakan bahawa bersama-sama kita boleh memacu perubahan yang signifikan, memberikan inspirasi kepada yang lain untuk menyertai misi kemampanan kita serta menubuhkan warisan pengurusan alam sekitar yang akan bergema sepanjang zaman dalam usaha menuju ke masa depan mampan.

    Hajah Tutiaty semasa menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta Perkhemahan Musim Panas UBD-AUN 2024. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Di antara peserta daripada universiti-universiti AUN yang menyertai program berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Terdahulu, Penyelaras Program Discovery Global, Awang Jaini bin Haji Jumat dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan atas kejayaan perkhemahan musim panas berkenaan di mana program komprehensif itu, direka untuk meningkatkan, merubah dan memberikan inspirasi kepada para peserta untuk menjadi ejen perubahan.
    Awang Jaini juga mengambil maklum akan sumbangan signifikan rakan-rakan kerjasama termasuk Unit SDG Brunei dan Green Brunei serta penyokong-penyokong program termasuk Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, UBD Corporation Sdn Bhd dan Aewon Brunei.

    Pada majlis berkenaan, dua orang peserta program turut mengongsi pengalaman mereka dengan seorang pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, April Chooi berkata bahawa program itu merupakan satu pengalaman yang membuka matanya dan memberikannya inspirasi untuk menubuhkan sendiri organisasi bukan berpandukan keuntungan apabila pulang ke tanah air nanti.

    Seorang pelajar lagi, Kuroshini A/P Sathurugan Saravan berkata bahawa aktiviti yang mengayakan dan pelbagai itu telah memberikan motivasi kepadanya untuk menaburkan lebih banyak bakti kepada masyarakat.

    Perkhemahan Musim Panas UBD-AUN 2024, dilaksanakan menerusi Program Discovery Global, UBD yang membawa tema Green Horizons: Harnessing Digital Transformation for Bioduversity and Sustainable Development.

    Program selama dua minggu itu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk program pembangunan pelajar, pembentangan topik dan acara membersihkan pantai yang mencerminkan komitmen yang kuat kepada pengurusan alam sekitar.

    Di samping itu, para peserta perkhemahan juga mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sosial dan lawatan untuk memperkayakan lagi pengalaman mereka, memupuk hubungan dan perpaduan dalam kalangan belia ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda