Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pengawasan wabak, teliti trend penghijrahan burung

    NEW JERSEY – Kelihatan sekumpulan burung kelaparan berkumpul di Tebing Delaware dalam usaha untuk memburu telur-telur ketam pada musim bunga ini.

    Secara ekologinya, spesies burung tersebut sering dilihat singgah berhenti di kawasan pantai tersebut untuk mencari sumber makanan tatkala berada dalam proses penghijrahan dari Amerika Selatan menuju ke Artik.

    Ia juga merupakan tapak pembiakan selesema burung dan saintis sedang giat berusaha untuk mencari klu atau jawapan mengenai bagaimana cara sejenis influenza itu berevolusi sebagai langkah untuk terus melindungi komuniti.

    “Melalui kajian ini sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada kami terus menjangka dan melakukan persediaan jika berlaku sebarang pandemik pada masa akan datang,” jelas Perintis Kajian Selesema di Hospital Penyelidikan Kanak-kanak St. Jude, Robert Webster.

    Kawasan pantai yang sangat menenangkan ini menjadi medan pertukaran virus influenza pada sekitar bulan Mei hingga Jun terutama apabila pelbagai spesies burung berkumpul dalam jumlah yang ramai.

    Sekumpulan penyelidik giat melakukan kajian berdasarkan pengumpulan sampel najis burung di sekitar Pantai Delaware bagi menyediakan vaksin sekiranya berlakunya sebarang wabak. – AP
    Pamela MacKenzie menjelaskan bahawa virus yang dibawa oleh seekor burung itu boleh bergabung dengan virus burung lain sekaligus membentuk virus baru. – AP

    Para penyelidik juga kelihatan cukup berhati-hati melangkah ke arah sarang ketam yang menjadi lokasinya untuk bertelur itu mengumpulkan sampel najis burung bagi mencari sebarang klu berkaitan dengan influenza.

    “Kami memang terlatih untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan tersebut bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan lancar,” jelas salah seorang penyelidik dari St. Jude, Pamela McKenzie yang kelihatan cukup bersemangat untuk mengumpulkan sampel bagi tujuan penyelidikan.

    “Burung dipilih menjadi subjek ujian adalah berikutan daripada merujuk kepada pembawa asal virus tersebut,” jelas Richard Webby yang bertugas selaku pengarah di Puat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pengawasan Influenza St. Jude, sebuah program yang dibiayai oleh Institut Kesihatan Nasional.

    Burung akuatik termasuk itik liar dan beberapa spesies burung penghijrah lain dianggap sebagai pembawa utama pada kebanyakan virus influenza.

    “Tidak kira sama ada pada musim sejuk atau pandemik, virus yang menjangkiti manusia seringkali dipercayai tersebar melalui burung akuatik,” jelas Webby.

    Pada kebiasaannya, spesies burung liar ini tidak akan memperlihatkan sebarang petanda penyakit namun virus yang disebarkan itu dengan mudah menjangkiti binatang ternakan seperti ayam, turki, khinzir dan sekali gus turut menjangkiti manusia.

    Kajian tahunan yang dilakukan oleh St. Jude itu juga dilakukan secara menyeluruh seperti melakukan kajian terhadap itik di China dan Kanada serta ternakan di Bangladesh bagi memeriksa evolusi dan penyebaran virus penyakit selesema burung itu sekali gus menyediakan vaksin tertentu kepada manusia dan binatang yang dijangkiti.

    Bulan Mei hingga Jun adalah bulan yang seringkali menjadi trend penghijrahan bagi kebanyakan spesies burung dari Amerika Selatan menuju ke Artik. – AP

    “Mengetahui evolusi virus itu berlaku dalam tempoh yang cepat merupakan satu perkara yang sangat mengejutkan di mana ia juga turut didorong oleh faktor genetik,” jelas McKenzie.

    “Penyebaran virus yang merebak kepada binatang ternakan setentunya secara tidak langsung boleh membahayakan manusia terutama apabila dagingnya dipasarkan dan dijadikan sebagai sumber bekalan makanan,” jelas Webby.

    Kini saintis telah berupaya untuk membezakan di antara satu virus dengan lainnya berdasarkan kepada genetik yang ditonjolkan daripada hasil kajian.

    Di samping virus baru juga boleh terbentuk melalui gabungan daripada dua virus yang berbeza.

    Menyingkap kembali sejarah lalu, selesema burung memang seringkali mengancam binatang ternakan sekali gus menjangkiti manusia.

    Antara wabak selesema burung yang sukar dilupakan adalah penyebaran virus H5N1 pada tahun 1990an yang banyak menjangkiti penduduk Hong Kong.

    Ternyata virus tersebut juga terus berevolusi menjadi virus H7N9 di mana ia turut menjadi wabak menjangkiti hampir 1,500 penduduk di China pada tahun 2013 dipercayai diperolehi daripada ayam yang dijangkiti.

    “Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai satu persediaan untuk menangani jika berlakunya sebarang penyebaran virus yang menjadikannya wabak mengancam nyawa manusia. Dengan mengetahui perubahan terhadap virus tersebut setentunya dengan mudah juga para saintis dapat menyediakan vaksin sekiranya berlakunya sebarang jangkitan,” jelas Marciela DeGrace dari Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan NIH.

    Setakat ini, kawasan itu memang terkawal pada musim penghijrahan bagi memudahkan para saintis untuk melakukan kerja-kerja pemeliharaan, menyelidiki spesies burung tersebut dengan terperinci, melakukan ujian kesihatan dan juga menandakannya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda