Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Bagi membantu meningkatkan pengetahuan ajaran Islam di kalangan kaum wanita di Negara Brunei Darussalam, Pusat Dakwah Islamiah melalui Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah (PDI) pagi tadi telah mengadakan Kursus Ta’lim Tasawuf II yang berlangsung bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini bertempat di Bilik Al-Basyir, Bangunan Darul Huda, PDI.
Kursus Ta’lim Tasawuf II yang berlangsung selama empat hari itu disertai oleh 38 orang terdiri daripada ahli-ahli persatuan-persatuan wanita, Daerah Brunei dan Muara.
Antara objektif kursus ini adalah memberi kefahaman mengenai ajaran-ajaran Islam dengan lebih sempurna dan memberikan kesedaran kepada peserta kursus supaya dapat diaplikasikan dan dihayati mengikut ajaran agama Islam.
Dalam kursus itu, taklimat disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Agama, PDI, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa.

Manakala, kursus itu menyentuh mengenai tajuk-tajuk seperti Zikrullah (mengingat Allah), Definisi Zikir, Hakikat Zikrullah, Medan Zikrullah (ruang lingkup mengingat Allah), Rasulullah SAW dengan Zikir, Adab Berzikir, Faedah-faedah Zikir, Keistimewaan Ahli Zikir, Manfaat Zikir dan Kesan Zikir Terhadap Individu, Keluarga, Masyarakat dan Negara.
Sementara itu, majlis penyampaian sijil akan diadakan pada 2 Ogos ini, jam 10:15 pagi bertempat di Bilik Maui’zzhah, Bangunan Darul Huda, PDI.
Kursus ini diharapkan akan dapat meningkatkan kefahaman dan membantu para peserta untuk mengulang kaji pengetahuan yang sedia ada selain dapat menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah SWT.