Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kerjasama DKSH mengadakan forum kesihatan wanita bertajuk, Let’s Talk Women’s Health yang berlangsung di Hotel J, Kiulap, kelmarin.
Acara itu merupakan platform penting bagi pendidikan dan dialog terbuka bermatlamat untuk memperkasakan wanita dengan ilmu pengetahuan dan memupuk perbincangan bermakna mengenai isu-isu kesihatan pada seluruh peringkat kehidupan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada forum itu ialah Ketua Pegawai Kewangan JPMC, Bun Pei Ling. Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pengurus Besar DKSH BRN Sdn Bhd, Alan Lim menekankan pentingnya bagi insiatif kesihatan awam berterusan serta nilai dalam menyediakan platform bagi pertukaran terbuka antara profesional penjagaan kesihatan dan orang ramai.
Beliau juga menerangkan bahawa forum kesihatan wanita berkenaan merupakan sebahagian daripada Patient Purpose Day DKSH iaitu sebuah inisiatif global tahunan untuk memupuk impak yang bermakna kepada landskap penjagaan kesihatan dengan tumpuan khusus pada mempromosikan kesihatan wanita pada tahun ini.
Acara itu mengetengahkan siri pembentangan oleh pakar-pakar perubatan JPMC iaitu Pakar Perunding Perubatan dan Ketua Pengesanan Awal dan Perkhidmatan Pencegahan Kanser, Datin Dr Noraslinah binti Haji Ramlee dengan tajuk, Empowering You: What Every Woman Needs to Know About Cancer Screening; Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Siti Khadijah binti Ismail dengan tajuk, Bump to Baby: Keys to a Strong and Safe Pregnancy; dan Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Si Lay Khaing dengan tajuk, Vaccination as Primary Prevention.


Acara diteruskan dengan panel perbincangan, yang dikendalikan oleh Dr L. S. Chitra Karat, di mana ia menghimpunkan ketiga-tiga penceramah bersama tetamu khas, seorang pesakit IVF yang berkongsi perjalanan peribadinya.
Sesi itu mewujudkan persekitaran yang selamat dan menarik untuk dialog terbuka, merapatkan jurang antara profesional perubatan dan masyarakat.
Acara diakhiri dengan aktiviti interaktif, di mana peserta berpeluang memenangi hadiah eksklusif tajaan Laneige Brunei dan JPMC serta hadiah daripada Buds Organics Brunei dan Tranquility Spa.
Acara berkenaan menekankan komitmen bersama JPMC dan DKSH untuk memajukan pendidikan penjagaan kesihatan dan memperkasakan wanita untuk membuat keputusan termaklum tentang kesejahteraan mereka.

