Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seramai 43 orang pelajar Kelas Bimbingan Tarannum Al-Quran Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong telah diraikan dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang turut berkesudian menyampaikan sijil kepada para pelajar.
Majlis didahului dengan solat Fardu Maghrib berjemaah dan diteruskan dengan persembahan interaktif Tarannum Al-Quran oleh pembimbing serta para pelajar sebelum diikuti dengan majlis penyampaian sijil kepada pelajar-pelajar.
Kelas Bimbingan Tarannum Al-Quran yang diadakan setiap pagi Ahad itu antara lain bertujuan bagi menambah serta mempertingkatkan lagi pengetahuan para peserta dan pelajar kelas berkenaan akan seni Tarannum Al-Quran.
Antara yang diajarkan kepada para pelajar ialah jenis-jenis atau Maqam lagu yang mahsyur seperti Bayati, Soba, Hijaz, Nahawand, Rast, Sikah dan Jiharkah.
