Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 27 Feb – Sebagai matlamat memberikan pendedahan asas untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku musibah kebakaran, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB), Tutong telah menganjurkan Program Latihan Kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba Daerah Tutong bertempat di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Program yang dihadiri oleh semua pelajar, guru-guru serta kakitangan SMSB itu telah diisikan dengan taklimat mengenai keselamatan atau mencegah kebakaran di sekolah yang telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Cawangan Operasi ‘E’, Jabatan Bomba Daerah Tutong, Dayang Nur Halimatul Halimah binti Abdullah Chin.
Taklimat kemudian disusuli dengan aktiviti demonstrasi memadamkan api dengan betul menggunakan alat pemadam api yang telah disampaikan oleh Pegawai Penyiasatan Pencegah Kebakaran, Cawangan Operasi ‘E’, Jabatan Bomba, Daerah Tutong, Awang Bahrin bin Haji Mohammad Noor.
Adapun antara objektif program yang bertema ‘Bersama Mencegah Kebakaran’ tersebut diadakan adalah untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada semua warga sekolah tentang tindakan-tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran. Hal ini amat penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian demi mengurangkan sebarang kecelakaan yang boleh meragut nyawa seseorang ketika terjadinya kebakaran.

