Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Seramai 80 pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) bersama penjaga, sukarelawan dan guru mereka pagi tadi, membuat lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Kedatangan rombongan dialu-alukan oleh ABW 956 Linda binti Haji Pungut bersama beberapa orang anggota bomba yang lain, di mana mereka terlebih dahulu diberikan taklimat mengenai peraturan di dalam fasiliti dan kemudian diteruskan dengan sesi lawatan.
Rombongan juga turut diberikan taklimat dan demonstrasi mengenai peralatan dan penggunaannya semasa anggota bomba dan penyelamat menjalankan tugas mereka. Semasa aktiviti lawatan itu, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan pakaian khas pemadam api secara dekat dan mempelajari langkah-langkah keselamatan semasa situasi kebakaran.
ABW 956 Linda berkata, “Kami sentiasa mengalu-alukan pihak sekolah untuk membuat lawatan ke Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat untuk mendedahkan tugas dan tanggungjawab dan sumbangan Pasukan Bomba dan Penyelamat kepada masyarakat di negara ini.”

Menurut salah seorang guru pengawas Pusat Ehsan, Dayangku Nursyahirah binti Pengiran Anak Mohd Joffri, Pusat Ehsan akan terus mendedahkan para pelajar bagi menambah pengalaman pembelajaran mereka sebagai satu usaha untuk membantu para pelajar memahami dunia di sekeliling mereka.
Para pelajar juga dapat mengetahui lebih dekat mengenai pekerjaan sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat.
Pusat Ehsan adalah organisasi bukan berdasarkan keuntungan dan bukan kerajaan berdedikasi bagi menyalurkan pendidikan, latihan dan rehabilitasi berkualiti bagi individu yang berkeperluan khas.
Pusat tersebut mempunyai lebih 150 pelajar berdaftar di Bengkurong dan 53 pelajar di Kuala Belait. Pusat Ehsan mengharapkan sumbangan dana dari acara amal untuk menjalankan program di pusat berkenaan.