Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Lebih 30 orang menyertai Program Pengurusan Koleksi Muzium anjuran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam yang dilancarkan hari ini.
Program tiga hari yang berlangsung di BKISHHB itu dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Interim bagi Koleksi dan Pameran di Smithsonian National Museum of Asian Art, Danielle Bennett, yang telah didatangkan di bawah US Speaker Programme.
US Speaker Programme merupakan program di bawah Biro Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan Jabatan Negara AS yang menghubungkan pakar-pakar dari AS dengan rantau antarabangsa dalam pelbagai topik yang merangkumi pemeliharaan budaya hingga kemakmuran ekonomi atau diplomasi pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan program berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Pengarah BKISHHB, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, dalam ucapannya menjelaskan bahawa program berkenaan bukan sahaja usaha terpencil tetapi juga platform untuk memperkenalkan kemampuan balai khazanah berkenaan kepada dunia.


“Ia juga merupakan bukti komitmen BKISHHB untuk menjadi pusat utama dalam pemeliharaan dan penyebaran ilmu Islam, seperti yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.
Sementara, Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland pula menyatakan bahawa kerjasama dalam bengkel berkenaan adalah tepat pada masanya, bertepatan dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik AS-Brunei, hubungan yang berteraskan persahabatan.
“Dengan semangat itu, marilah kita menggunakan bengkel ini sebagai peluang untuk membina jambatan pemahaman dan persahabatan yang akan kekal untuk generasi akan datang,” serunya.
Para peserta terdiri daripada pakar dan pentadbir muzium dari BKISHHB, Jabatan Muzium-Muzium, Pusat Sejarah Brunei, Pusat Dakwah Islamiah, Muzium Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Muzium Pasukan Polis Diraja Brunei dan Galeri Matawang Negara Brunei Darussalam.
Program merangkumi pelbagai bidang seperti dasar dan etika pengurusan artifak, pengurusan rekod, dan penjagaan pencegahan koleksi muzium.

