Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) harus memastikan peranan pandu puteri dapat memberikan impak yang signifikan kepada komuniti terutama sekali dalam memperkasa peranan wanita dan gadis di Negara Brunei Darussalam.
Seruan berkenaan disuarakan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Dipertua PPPDB dalam sabda pada Majlis Mesyuarat Pertama bagi Tahun 2024 PPPBD yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Kampung Anggerek Desa, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Terdahulu, Yang Teramat Mulia bersabda bahawa mesyuarat bertujuan bagi meninjau dengan lebih dekat lagi prasarana dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di ibu pejabat
persatuan dan dapat berpeluang bersuai kenal dengan ahli-ahli persatuan di samping mengetahui perkembangan pandu puteri secara amnya.
“Saya berharap di kesempatan ini, kita akan dapat sama-sama berkongsi pendapat dan pandangan bagi meningkatkan dan memperbaiki lagi peranan PPPBD supaya ianya sentiasa tetap relevan dengan perkembangan masa dan keadaan,” sabda Yang Teramat Mulia.