Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Bagi memberikan perkhidmatan kesihatan dan menyediakan tahap penjagaan yang bertaraf antarabangsa, Gleneagles JPMC telah melakarkan satu lagi mercu tanda yang signifikan apabila merasmikan Sistem Angiografi Philips Azurion 7 B20/12 dalam majlis perasmian yang berlangsung di Gleneagles JPMC, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian sistem angiografi berkenaan ialah Menteri Kesihatan selaku ahli Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Ketua Perkhidmatan Klinikal dan Pengarah Pembedahan, Gleneagles JPMC, Dr Eugene Sim dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa sejak Gleneagles JPMC memulakan operasinya, pusat berkenaan terus menyediakan perkhidmatan jantung tertiari dan kuarter kepada penduduk negara ini serta juga rantau ini.
Di samping itu, Gleneagles JPMC juga menjadi pusat serantau bagi penyelidikan dan latihan di mana ia menyediakan siaran langsung prosedurnya kepada negara lain dan juga melatih pakar kardiologinya sendiri serta mereka dari negara-negara jiran dalam intervensi koronari.
Beliau turut menyatakan bahawa pada 2019, Gleneagles JPMC melaksanakan sebanyak 3,144 prosedur diagnostik dan intervensi yang merangkumi seba- nyak 1,266 angiogram koronari, 804 kes Percutaneous Coronary Intervention (PCI), 122 Electrophysiological Studies dan intervensi serta prosedur-prosedur lain.
Oleh itu, Dr Eugene Sim menyatakan bahawa perasmian sistem angiografi baharu itu merupakan sokongan kepada komitmen Gleneagles JPMC untuk terus meningkatkan keupayaan kemudahannya, memperbaiki perkhidmatannya serta menyediakan tahap penjagaan yang tertinggi kepada penduduk di Negara Brunei Darussalam dan serantau.
Platform terapi bimbingan imej itu, tambahnya, membolehkan doktor mereka untuk melakukan prosedur dengan tepat dan mudah. Sistem yang mempunyai konfigurasi Dual Fluoro yang unik membolehkan bagi pembesaran langsung imej-imej fluoroskopi dua kali ganda daripada julat normal tanpa perlu untuk meningkatkan dos radiasi.
Majlis diteruskan dengan perasmian Sistem Angiografi Philips Azurion 7 B20/12 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan seterusnya melihat dengan lebih dekat serta diberikan penerangan mengenai dengan sistem angiografi berkenaan.