Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tingkat piawaian keselamatan, kesihatan tempat kerja

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), baru-baru ini, telah menganjurkan dua bengkel setengah hari mengenai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja di Auditorium iCentre, Kampung Anggerek Desa.

    Seramai 48 orang wakil Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawah kementerian-kementerian berkenaan telah menyertai bengkel-bengkel tersebut.

    Ia dikendalikan dalam usaha untuk meningkatkan pematuhan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja khususnya mengenai kewajipan-kewajipan yang dikuatkuasakan oleh pihak SHENA.

    Menurut SHENA, bengkel berobjektif bagi meningkatkan kesedaran tentang kewajipan di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya, khususnya Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja), 2014 (atau Peraturan Jawatankuasa WSH).

    Ucapan alu-aluan pada sesi pertama bengkel tersebut disampaikan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Proses SHENA, Haji Ya’akub bin Haji Yusof, selaku Pengerusi Jawatankuasa WSH, iaitu Jawatankuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE), manakala sesi pembukaan bengkel kedua disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sementara, Haji Mohd Yusof bin Haji Mohd Taufik.

    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SHENA
    GAMBAR SERAHAN SHENA

    Kedua-duanya menekankan kepentingan pendekatan seluruh negara dalam meningkatkan piawaian keselamatan dan kesihatan tempat kerja di negara ini dan bersama-sama membuat perubahan dalam memastikan Brunei adalah tempat yang selamat untuk bekerja dan didiami.

    Bengkel interaktif tersebut menampilkan pembentangan mengenai keperluan-keperluan di bawah Peraturan Jawatankuasa WSH dan diikuti dengan pembentangan Jawatankuasa WSH di bawah SHENA, dikenali sebagai Jawatankuasa SHE, dalam berkongsi perjalanan dan pengalaman mereka dalam penubuhan Jawatankuasa WSH dan perlaksanaan fungsi-fungsi jawatankuasa tersebut di bawah SHENA.

    Ia diakhiri dengan sesi breakout yang merangkumi pengalaman praktikal peserta dalam penubuhan Jawatankuasa WSH, pemilihan pengerusi, ahli serta sekretariat, aktiviti berkaitan pemeriksaan tempat kerja, pengenalpastian bahaya di tempat kerja dan tatacara mitigasi melalui jawatankuasa tersebut, pelan tindakan susulan dan sebagainya.

    Bengkel WSH berkenaan diharap akan menggalakkan penglibatan proaktif peserta dalam perancangan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    Ini seterusnya akan menggalakkan penubuhan Jawatankuasa WSH di kementerian atau jabatan yang menyertai bengkel ini dan seterusnya menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mereka dan memastikan pematuhan dengan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Pihak prinsipal, penghuni tempat kerja, majikan dan orang yang sedang bekerja di tempat kerja bolehlah melayari laman sesawang SHENA, www.shena.gov.bn bagi mendapatkan panduan dan maklumat lanjut berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan tempat kerja termasuk rujukan kepada Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...