Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Sept – Bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara para atlet tarik kalat di Negara Brunei Darussalam, Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada kontinjen tarik kalat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 Tahun dan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-4, 2018 telah diadakan di Kompleks Sukan Mumong di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil penghargaan ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Abdol Hazis bin Haji Ahad, selaku Chief Division Kontinjen SKBD bagi Daerah Belait bagi tahun 2018.
Pengerusi Tarik Kalat Daerah Belait, Stesen Komander Balai Bomba Seria, Awang Muhamad Ali bin Hassan dalam ucapan alu-aluannya telah secara ringkas mengongsikan latar belakang penubuhan pasukan tarik kalat KB Bull Brothers dan pencapaian yang telah diperoleh di sepanjang penubuhannya sejak tahun 2000 atas nama gabungan Kampung Pandan. Pada tahun 2010 ia kemudiannya ditukar kepada nama pasukan yang ada sekarang ini.
Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat yang telah menaja dan memberikan sokongan serta dorongan untuk terus membantu meningkatkan kemajuan dalam bidang sukan tersebut dari masa ke semasa.
Majlis hari ini juga turut menyaksikan perlawanan persahabatan antara Pasukan KB Bull Brothers dengan Pasukan Bravo 995 serta Pasukan EWC dan pasukan undangan dari Limbang, Sarawak iaitu Pasukan Tarik Tali Platoon.
Selain itu, acara turut menyaksikan penyampaian Anugerah Man of the Match bagi Kategori Remaja, Ringan dan Berat.
Anugerah tersebut telah dinilai berdasarkan daripada berbagai sudut seperti keha-diran semasa latihan, semangat kesukanan, komitmen, disiplin, keterampilan dan lainnya.
Bagi Kategori Ringan, anugerah itu dianugerahkan kepada Awang Abdul Muiz bin Haji Hamdan daripada Pasukan Tebuan Muda 995, manakala Kategori Remaja dianugerahkan kepada Awang Nurhazwan bin Isa daripada Pasukan KB Bull Brothers dan Kategori Berat dianugerahkan kepada Awang Mohd Asrul bin Annuar daripada Pasukan KB Bull Brothers.
Majlis diadakan antara lain bertujuan untuk meningkatkan semangat kesukanan, selain menyampaikan penghargaan kepada pemain-pemain terbaik dalam sukan tersebut.
