Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Seramai 39 orang peserta yang berjaya menamatkan Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) Mukim Kilanas selama dua hari bermula 15 hingga 17 Mei telah diraikan pada Majlis Penutup Program CBDRM di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta para pegawai dan kakitangan dari agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini termasuk Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Pada majlis berkenaan, Ketua Kampung Bunut Perpindahan Mukim Kilanas, Awang Mohd Khairoul Johani bin Haji Jumat dalam ucapan menekankan pentingnya penglibatan masyarakat kampung dalam pengurusan bencana di negara ini.
Beliau menyatakan Program CBDRM yang dianjurkan itu banyak memberi manfaat kepada penduduk kampung terutama dalam pengurusan bencana di negara ini yang mana segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan bagi membantu pihak kerajaan membina masyarakat berdaya tahan bencana.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sijil penghargaan kepada para peserta dan fasilitator program yang turut melibatkan ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) NDMC oleh Pengiran Muhammad Ameer Mubaraak.
Majlis turut menyaksikan penyerahan perkakas memadam kebakaran oleh Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak kepada Ketua Kampung Tasek Meradun, Awang Ahmad Hussaini bin Haji Mohsin mewakili penghulu mukim dan ketua kampung Mukim Kilanas dengan disaksikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah JBP, Haji Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi.
Majlis itu meraikan pencapaian program dan menghargai penyertaan aktif dan komitmen penduduk Mukim Kilanas dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan kedayatahanan bencana dengan menyertai Program CBDRM yang dianjurkan oleh NDMC dengan kerjasama JDBM dan agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini.
