Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan bengkel Occupational Hygiene and Occupational Toxicology sebagai acara kemuncak Hari Terbuka C3L dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024, baru-baru ini.
Dengan memberikan tumpuan pada keselamatan tempat kerja global, bengkel selama dua hari itu bertujuan menangani hasil penemuan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), mendedahkan dua juta kematian berkaitan kerja, 270 juta kemalangan dan 160 juta penyakit berkaitan pekerjaan setiap tahun.
Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran upskill dan reskill profesional dalam kesihatan dan keselamatan pekerjaan, memfokuskan pada kebersihan dan toksikologi pekerjaan untuk mengatasi risiko tempat kerja sekali gus mengurangkan risiko kesihatan.
Seramai 20 orang ahli profesional dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd (BLNG), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), UBD dan institusi lain telah hadir.
Sepanjang bengkel itu, para peserta berpeluang mendengar perkongsian bermanfaat daripada pandangan pakar dan amalan terkini dalam kesihatan pekerjaan yang disampaikan oleh dua orang penceramah jemputan,Profesor Dr Orawan Kaweboonchoo dari Mahidol University, Thailand; dan Profesor Dr Anamai Thetkathuek dari Burapha University, Thailand.
Selain itu, bengkel juga menawarkan kuliah dinamik, kajian kes, perbincangan kumpulan dan latihan praktikal untuk menggabungkan teori dengan pemahaman praktikal menerusi sesi interaktif.
Bengkel itu membenarkan para peserta memperoleh kemahiran praktikal untuk menjalankan penilaian kebersihan pekerjaan dan menilai risiko kesihatan sekali gus melengkapkan mereka untuk meningkatkan standard kesihatan di tempat kerja.
Selepas bengkel, C3L UBD menjemput ahli profesional untuk mendaftar dalam kelayakan mikro dalam Occupational Hygiene and Occupational Toxicology sebagai sebahagian daripada program sarjana mikro kesihatan dan keselamatan pekerjaan yang dilancarkan pada Januari 2024, terbuka kepada kedua-dua profesional perubatan dan juga bukan perubatan.